BEAUFORT, 19 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin mampu memenangi lebih 40 daripada 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata keyakinan itu bersandarkan kekuatan jentera parti, sokongan padu akar umbi dan kerjasama mantap yang ditunjukkan oleh semua parti komponen dalam gabungan tersebut.
“Memang kita sasarkan lebih banyak kerusi dan kita yakin dapat mempertahankan kerajaan kerana majoriti mudah memerlukan lebih daripada 37 kerusi... insya-Allah, kita bertanding di 55 kawasan dan kita yakin boleh memperoleh lebih daripada 40 (kerusi).
“Insya-Allah, kita juga boleh pertahankan kedua-dua kerusi DUN Klias dan Lumadan ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat dalam siri kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di kedua-dua DUN di Dataran Bagandang Beaufort di sini hari ini.
Terdahulu, Hajiji ketika berucap memuji rekod perkhidmatan calon GRS di kawasan berkenaan iaitu Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih (DUN Klias) dan Datuk Ruslan Muharam (DUN Lumadan) yang telah berusaha membawa perubahan.
“Hari ini saya datang untuk berkempen bagi kedua-dua calon kita... rekod mereka sebagai wakil rakyat selama lima tahun amat baik dan meyakinkan, sebab itu kita pilih mereka sekali lagi kerana kita tahu mereka mampu membawa lebih banyak kemajuan di Klias dan Lumadan.
“Mereka mungkin tidak tahu tetapi saya ada rekod apa yang telah mereka lakukan sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat, begitu hebat usaha mereka,” katanya sambil menyeru pengundi agar memberikan mandat baharu kepada kedua-dua calon berkenaan.
Beliau juga berkata GRS merupakan sebuah kerajaan yang adil dengan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan tanpa mengira keturunan, suku kaum atau kepercayaan sepanjang lima tahun mentadbir sekali gus memastikan manfaatnya dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah.
Hajiji berkata semua perancangan pembangunan telah digariskan dengan jelas melalui empat teras utama yang menjadi asas hala tuju pentadbiran GRS termasuk sektor pertanian, perindustrian, pelancongan serta pembangunan modal insan dan pendidikan.
Ketua Menteri Sabah itu turut menekankan komitmen kerajaan terhadap peningkatan taraf hidup rakyat, termasuk peluang pekerjaan menerusi projek industri baharu yang diperkenal.
“Kita bukan bercakap tinggi tetapi bukti nyata yang menunjukkan Sabah lebih maju berbanding sebelum ini kerana selepas COVID-19, kita memulihkan ekonomi melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan hasilnya dapat dilihat dalam semua sektor.
“Contohnya, Taman Perindustrian SOGIP di Sipitang sudah penuh walaupun masih di peringkat awal... perjanjian dengan syarikat-syarikat besar telah dimeterai dan ini akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat Beaufort, Klias dan Lumadan,” katanya yang turut mengumumkan pemberian dua mesin dialisis tambahan bagi kedua-dua kawasan untuk keperluan penduduk.
-- BERNAMA
