AM

SMK TRUS MADI SIAP SEPENUHNYA, MULA OPERASI AWAL TAHUN DEPAN

20/11/2025 07:52 PM

SOOK, 20 Nov (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trus Madi yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Pekan Keningau telah siap sepenuhnya dan dijadual memulakan operasi pada Januari tahun hadapan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim, berkata projek bernilai lebih RM51 juta yang terletak di Kampung Sinua itu meliputi kawasan seluas 10.117 hektar dan telah menerima Sijil Penyiapan Kerja pada 19 Nov lepas.

Beliau berkata projek yang dilaksanakan oleh Zon Sabah dan Labuan (Zon 7), Cawangan Pembangunan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan itu diluluskan pembinaannya pada 2014.

“Sijil Penyiapan Kerja dikeluarkan pada 19 Nov 2025 dan pembinaan dimulakan pada 2017 dengan reka bentuk kondusif dan selesa yang memberi impak positif kepada pelajar serta guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bangunan SMK Trus Madi di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin.

SMK Trus Madi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk blok pentadbiran, blok bilik darjah, blok makmal, dewan serbaguna, kantin, asrama lelaki dan perempuan masing-masing berkapasiti 200 pelajar, kuarters guru, padang bola, surau serta sistem utiliti lengkap.

Wan Hashim berkata pembinaan sekolah baharu itu turut memberi manfaat kepada 832 murid dari enam sekolah rendah berhampiran, termasuk 116 murid Tahun 6 yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

“Dengan kemudahan yang lebih selesa dan selamat, para guru dapat mengajar dengan lebih berkesan, manakala murid dapat belajar dalam suasana kondusif. Inilah pelaburan masa depan negara, pelaburan dalam pendidikan.

“Projek pembangunan SMK Trus Madi merupakan pelaburan besar kerajaan. Nilai kontrak semasa adalah RM38,094,669 manakala kos keseluruhan projek melebihi RM51 juta, mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan akses pendidikan berkualiti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Hashim berkata sebanyak 389 projek pembangunan semula sekolah daif sedang dilaksanakan di seluruh Sabah, dengan 236 projek telah siap, 64 dalam pembinaan dan 89 lagi dalam proses prabina.

“Kita menjangkakan semua projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun,” katanya.

Katanya sebanyak 776 sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 7 di Sabah dan berstatus 50 tahun ke atas yang semestinya memerlukan perhatian khusus daripada kementerian.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan