AM

PERSIDANGAN MIH MEGATRENDS 2025 KETENGAH MALAYSIA SEBAGAI HAB KESIHATAN SERANTAU

20/11/2025 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa ini, bakal mengangkat Malaysia sebagai hab kesihatan serantau dalam usaha memacu kemampanan kesihatan pada masa depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata persidangan bertemakan ‘Inovasi untuk Masa Depan Kesihatan yang Mampan’ berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu akan mempamerkan teknologi dan inovasi penjagaan kesihatan di negara ini.

Beliau berkata persidangan itu bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di peringkat serantau, tetapi juga di peringkat global dalam aspek penjagaan kesihatan.

“Persidangan itu akan menumpukan cabaran tertentu dalam sektor kesihatan antaranya langkah  menangani pandemik penyakit tidak berjangkit (NCD), keperluan kepada digitalisasi untuk melakukan pelbagai inovasi dan isu masyarakat menua,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini. 

MIH Megatrends 2025 yang berlangsung pada 25 Nov itu diadakan dengan kerjasama strategik Kementerian Kesihatan (KKM) dan KPJ Healthcare Bhd, yang mencerminkan hala tuju strategik Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin pemikiran global, penggubal dasar penjagaan kesihatan, doktor, inovator dan pakar industri yang akan bertukar idea serta meneroka penyelesaian berskala dalam bidang seperti penjagaan berasaskan nilai, kecerdasan buatan, kesihatan mental dan kemampanan dalam penjagaan kesihatan.

Sementara itu, Dzulkefly berkata Malaysia akan berdepan pelbagai cabaran kesihatan terutamanya penyakit kronik sekiranya sistem kesihatan tidak ditambah baik berikutan 15 peratus daripada warganegara akan berusia 60 tahun ke atas pada 2030.

“Masyarakat menua membawa pelbagai implikasi kesihatan dan seandainya mereka tidak dipersiapkan untuk sihat pada umur yang lebih muda, maka usia senja, usia 60 ke atas itu, akan menjadi satu yang sangat mencabar dari sudut menjaga kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan