GEORGE TOWN, 21 Nov (Bernama) -- Industri pelancongan Pulau Pinang dijangka menerima rangsangan besar dengan pelancaran “Penang Princess”, kapal persiaran dengan restoran mewah pertama negeri itu yang dibangunkan bagi memperkukuh tarikan maritimnya.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) Datuk Yeoh Soon Hin berkata projek berkenaan merupakan pencapaian penting dalam pembangunan pelancongan maritim negeri, sekali gus meletakkan asas kukuh ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang lebih pelbagai dan berdaya saing.
“Penang Princess" ialah kapal persiaran mewah pertama di Pulau Pinang yang menggabungkan pengalaman menjamu selera bertaraf mewah sambil menikmati pelayaran dengan pemandangan laut Selat Melaka.
“Projek ini akan memperluas daya tarikan pelancongan Pulau Pinang daripada pulau hingga ke kawasan Selat Melaka. Ia bukan sahaja memperkayakan tawaran produk pelancongan negeri, malah menjana manfaat ekonomi pelbagai dimensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yeoh hadir menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman antara rakan projek itu, Ocean World Cruise Holdings Group dan Viet Princess Cruiser Corporation, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek berkenaan dijangka merangsang aktiviti ekonomi secara ketara, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor seperti perhotelan, katering dan operasi maritim.
“Pada masa sama, operasi kapal persiaran ini akan memacu pembangunan rantaian bekalan berkaitan, termasuk perkhidmatan maritim, logistik dan pengangkutan, pembekalan makanan serta penganjuran acara dan hiburan,” kata beliau.
Menurut Yeoh, Penang Princess yang merupakan produk pelancoangan bertaraf premium berpotensi menarik lebih ramai pelancong berbelanja tinggi, merangsang perbelanjaan domestik, melanjutkan tempoh penginapan pelawat serta mengukuhkan permintaan terhadap produk pelancongan negeri.
Beliau berkata kapal persiaran itu juga berpotensi menjadi lokasi utama bagi penganjuran majlis perkahwinan di laut, acara korporat dan program berunsur kebudayaan.
“Usaha ini bukan sahaja memperkayakan portfolio pelancongan Pulau Pinang, malah mengukuhkan lagi kedudukan kompetitif negeri dalam pasaran pelancongan serantau,” katanya.
-- BERNAMA
