POLITIK

PRN SABAH: SAMSIAH IKRAR PERKASA WANITA DALAM PEMBANGUNAN DUN KUKUSAN

23/11/2025 10:50 AM

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 23 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Samsiah Usman berjanji akan memperjuangkan agenda pemerkasaan wanita dalam pembangunan kawasan berkenaan sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Samsiah daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) berkata antara usaha yang akan digerakkan ialah merangka peluang ekonomi seperti latihan peningkatan kemahiran khususnya melibatkan suri rumah.

“Kami (GRS dan Harapan Rakyat) ingin memberi peluang kepada suri rumah untuk menceburi aktiviti keusahawanan kecil. Mereka boleh berniaga, tambah pendapatan sambil menjaga anak di rumah.

“Ekonomi wanita di Kukusan boleh diperkasa dengan membantu golongan ini meningkatkan kemahiran seperti menjahit, memasak, termasuk menghasilkan kraf tangan. Di samping itu, kebajikan terutama ibu tunggal turut diberi perhatian,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Harapan Rakyat dan GRS tidak sekadar menabur janji, sebaliknya bertekad membawa era baharu untuk DUN Kukusan menerusi program yang telah dilaksanakan sejak awal penggal, bukannya hanya ketika kempen PRN.

“Banyak yang telah dilaksanakan seperti pemberian rumah Sabah Maju jaya, termasuk pewartaan Kampung Sri Menanti, Kampung Airport Lama, Kampung Hilltop dan Kampung Sentosa Blok 5. Banyak manfaat dinikmati penduduk seperti naik taraf balai raya, jalan kampung serta perparitan,” katanya.

Samsiah berkata agenda pembangunan DUN Kukusan turut merangkumi pembukaan industri baharu yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia setempat yang selama ini terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu.

Sementara itu, penduduk Kampung Barisan, Aminah Palawe, 53, berharap calon yang menang pada PRN kali ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan asas kampung termasuk membaiki jalan rosak dan membina balai raya.

Aminah yang juga pengundi DUN Kukusan dan seorang suri rumah turut menginginkan program peningkatan kemahiran serta keusahawanan untuk wanita di kawasan itu.

Bagi Sahila Mohiibe, 28, wakil rakyat yang dipilih diharap dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan di DUN Kukusan, di samping memastikan kemudahan asas terjamin seperti tiada catuan bekalan air bersih.

Kukusan yang mempunyai 19,225 pemilih berdaftar pada PRN kali ini adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Kalabakan selain Tanjung Batu.

Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

 

N70: KUKUSAN: SABAH: 19,225  

1. Ab Rahman Yahya                  (STAR) 

2. Samsiah Usman                     (GRS-PHRS)

3. Chaya Sulaiman                     (BN-UMNO)

4. Mariani Sulaiman                    (Anak Negeri)

5. Ishak Ismail                             (PPRS)

6. Razik Muyong                         (PIS)

7. Francis Lawrence @ Yusop    (PN-Bersatu)

8. Ma'mun Sulaiman                    (Warisan)

9. Hairul Amin Arif                        (Bebas)

10. Rina Jainal                             (Bebas)

(2020: Rina Jainal: Warisan Plus-Warisan: Maj: 10)

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan