EKONOMI

BEKAS PENGERUSI EKSEKUTIF LABUAN IBFC ISKANDAR NULI DILANTIK SEBAGAI CEO MIFSA

22/11/2025 02:31 PM

LABUAN, 22 Nov (Bernama) -- Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Antarabangsa Maldives (MIFSA) melantik Datuk Iskandar Mohd Nuli sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menandakan langkah penting dalam usaha Maldives membangunkan pusat kewangan antarabangsa yang berdaya saing.

Dalam satu kenyataan hari ini, MIFSA berkata Iskandar membawa lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang penyeliaan kewangan, pembangunan pusat luar pesisir, pembaharuan perundangan serta promosi pasaran antarabangsa.

Pelantikan beliau juga dijangka memperkukuh usaha Maldives International Financial Centre (MIFC) mencapai matlamat jangka panjangnya.

“Kami berbesar hati mengalu-alukan Datuk Iskandar untuk menerajui MIFSA. Pengalaman beliau dalam membangunkan pusat kewangan antarabangsa dan latar belakang beliau dalam kawal selia akan menjadi pemangkin untuk merealisasikan aspirasi Maldives bagi MIFC,” kata seorang anggota lembaga MIFSA.

Sementara itu, Iskandar berkata beliau berasa amat berbesar hati dengan pelantikan itu.

“Komitmen kerajaan Maldives untuk membangunkan hab kewangan generasi baharu yang mampan membuka peluang unik untuk menarik pelaburan global dan meletakkan Maldives sebagai pemain kompetitif dalam arena kewangan antarabangsa,” katanya.

Iskandar juga mempunyai rekod perkhidmatan yang luas bersama Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC).

Selepas memulakan kerjaya di Bank Negara Malaysia pada 1990, beliau menyertai Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) pada 1996 sebagai antara pegawai perintis.

Sepanjang hampir tiga dekad, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk pengarah, pengarah kanan dan timbalan ketua pengarah, menerajui fungsi utama seperti hal ehwal undang-undang, penyeliaan, dasar, pengesahan perniagaan, komunikasi dan sumber manusia.

Iskandar turut memainkan peranan penting merangka Akta Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan 1996 dan mengetuai pemodenan besar-besaran kerangka perundangan Labuan IBFC antara 2008 hingga 2010, yang memperkukuh piawaian regulatori dan menyelaraskannya dengan keperluan antarabangsa.

Beliau juga memperkenalkan undang-undang kewangan Islam tersusun pertama di dunia bagi pusat luar pesisir, selain menyumbang dalam tadbir urus nasional berkaitan jenayah kewangan, termasuk sebagai ahli pengasas jawatankuasa eksekutif National Anti-Financial Crime Centre (NFCC) dan Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan Anti-Pengubahan Wang Haram (NCC).

Dari 2020 hingga 2025, Iskandar berkhidmat sebagai pengerusi eksekutif Labuan IBFC Inc Sdn Bhd dan memperluas capaian global Labuan di pasaran utama termasuk China, Singapura, Indonesia, Jepun, Dubai, Qatar, Bangladesh dan Filipina.

MIFC yang dilancarkan awal tahun ini sebagai usaha sama bernilai US$8.8 bilion (US$1=RM4.14) antara kerajaan Maldives dan MBS Global Investments, bertujuan mempelbagaikan ekonomi negara itu melangkaui sektor pelancongan dengan mewujudkan zon bebas kewangan moden.

Dengan penekanan terhadap penggunaan tenaga boleh baharu, peraturan yang mengikut piawaian antarabangsa dan persekitaran bersepadu, MIFC dijangka menarik bank antarabangsa, syarikat fintech, pengurus dana serta pemain ekonomi digital.

Pelantikan Iskandar dilihat sebagai langkah strategik memajukan inisiatif nasional itu, dengan pihak berkepentingan menyatakan keyakinan terhadap pengalaman beliau dalam membangunkan dan mempromosikan pusat kewangan antarabangsa.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan