KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas Datuk Awang Husaini Sahari mahu menumpukan agenda perumahan mampu milik, menambah baik infrastruktur asas, kemudahan pendidikan dan kesihatan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Bekas Ahli Parlimen Putatan itu berkata pertambahan penduduk secara mendadak menuntut pembesaran jalan raya, kerja-kerja mendalamkan sungai serta meningkatkan kapasiti sekolah bagi mengurangkan kesesakan sekali gus memastikan akses pendidikan mencukupi.
“Petagas terletak di pinggir bandar terdekat dengan Kota Kinabalu dan menjadi fokus bagi pekerja yang datang dari luar Kota Kinabalu untuk mencari rumah. Kita mungkin perlu mendirikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan lebih banyak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dari aspek kesihatan, Awang Husaini berkata terdapat keperluan menambah baik fasiliti rawatan agar mampu menampung peningkatan pesakit, termasuk memperbesar poliklinik utama serta menambah klinik baharu di beberapa kampung.
“Klinik sudah sedia ada tetapi perlu diperbesar (kerana) jumlah penduduk meningkat secara mendadak menyebabkan klinik-klinik itu hampir sesak,” katanya.
Awang Husaini berkata beliau juga akan memberi fokus kepada peniaga kecil dan usahawan muda yang memerlukan bimbingan terhadap insentif dan kemudahan disediakan kerajaan.
“Kelemahan berlaku di sini adalah dari segi kefahaman penduduk untuk mendapatkan ataupun memanfaatkan semua sumber yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata pemimpin setempat perlu menjadi fasilitator membantu peniaga kecil berurusan dengan pihak berkuasa tempatan kerana penyelesaian dicapai melalui rundingan antara peniaga, kerajaan tempatan dan pemimpin masyarakat akan membolehkan semua pihak mendapat manfaatnya.
Awang Husaini berdepan saingan 10 penjuru termasuk dari penyandang yang merupakan abang beliau Datuk Awang Ahmad Shah yang bertanding sebagai calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N23: PETAGAS: SABAH: 20,116
(2020: Datuk Awang Ahmad Sah: Warisan Plus-Warisan: Maj: 261)
-- BERNAMA
