KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kundasang memberikan sokongan padu kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini demi memastikan kestabilan politik di Sabah terpelihara.
Ketua Bahagian STAR Kundasang Jain Sauting berkata antara keutamaan perjuangan mereka adalah memastikan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada Sabah dapat direalisasikan.
“Melalui kerajaan GRS yang lalu, mereka berjaya sehingga akhirnya ada keputusan bahawa kita boleh mendapat perkara itu (40 peratus).
"Saya berharap melalui keputusan STAR untuk bekerjasama dan menyokong GRS, kita boleh memperoleh apa yang kita mahukan terutama sekali dalam menunaikan aspirasi rakyat bagi meneruskan kesinambungan kerajaan yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berharap semua ahli dan penyokong STAR bersatu hati demi memastikan kemenangan GRS di Kundasang pada PRN ini.
Pada 7 Okt lepas, Presiden STAR mengumumkan parti itu keluar daripada GRS.
Sementara itu, calon GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga penyandang kerusi berkenaan berterima kasih dan menyambut baik sokongan itu.
“Saya amat mengalu-alukan sokongan mereka. Terima kasih kerana bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata sokongan itu bukan sekadar kerjasama politik tetapi satu perjuangan bersama demi masa depan Sabah yang lebih stabil dan makmur.
DUN Kundasang terletak dalam Parlimen Ranau selain Karanaan dan Paginatan.
N36: KUNDASANG: SABAH: 24,582
1. Datuk Japiril Suhaimin (SAPP)
2. Edward Jamkim @ Paul Arif (PIS)
3. Dr Atong Antong (PN-Bersatu)
4. Jeffrey Gopog (Warisan)
5. Nazarul Khaiwala Wahab (Anak Negeri)
6. Rogers Tiam @ Aloysius (UPKO)
7. Jattry Abie @ Jeffry Mohd Ali (KDM)
8. Japirin Sahadi (BN-PBRS)
9. Jackson Musi (Bebas)
10. Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-PBS)
(2020: Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam: PBS: Maj: 1,422)
-- BERNAMA
