KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Penganjuran Jerayawara Program Parlimen Belia Malaysia (PBMy) di Sabah merupakan bukti komitmen Parlimen Malaysia untuk memperkasakan kepimpinan belia secara inklusif di seluruh negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sesi berkenaan memberikan ruang langsung kepada anak muda Sabah untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai isu semasa, cabaran yang perlu ditangani serta aspirasi yang ingin dibawa ke masa hadapan.
Beliau berkata jerayawara anjuran Sekretariat Parlimen Belia Malaysia itu diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertemakan “Suara Belia, Suara Demokrasi”.
“Program ini adalah kesinambungan daripada sesi dialog awam (townhall) pertama yang berlangsung pada 5 dan 6 Nov lepas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jerayawara berkenaan di UMS di sini hari ini.
Johari berkata antara objektif penting program berkenaan adalah memperkenalkan lima parti belia yang ditubuhkan hasil sesi dialog awam pada November lepas antaranya Parti Generasi Progresif (PGP), Parti Gabungan Suara Belia (GSB) dan Deklarasi Minda Nasional (DemNas).
“Penubuhan parti-parti ini melambangkan kesediaan belia untuk mengorganisasi, berfikir secara strategik dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara,” katanya.
Johari berkata fokus utama jerayawara itu juga meliputi pendedahan awal mengenai struktur baharu PBMy kepada peserta khususnya belia dan mahasiswa dari pelbagai institusi pendidikan tinggi di Sabah.
“Secara keseluruhannya, sesi ini menonjolkan semangat generasi muda Malaysia yang berwawasan, berani bersuara, dan komited terhadap pembinaan sebuah negara bangsa yang demokratik dan matang,” katanya.
-- BERNAMA
