AM

MDGM HENTIKAN AKTIVITI KERJA TANAH DI LOJING HINGGA DISEMBER

23/11/2025 08:35 PM

GUA MUSANG, 23 Nov (Bernama) -- Semua aktiviti dan kerja-kerja tanah bagi tujuan pembangunan di Tanah Tinggi Lojing dihentikan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Dis susulan keadaan cuaca semasa.

Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata arahan itu dibuat selepas mengambil kira taburan hujan yang tinggi dan kedudukan Lojing sebagai kawasan yang terdedah kepada risiko banjir lumpur serta tanah runtuh.

Beliau berkata merujuk kepada peruntukan Seksyen 70A(4)  Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Pihak Berkuasa Tempatan berkuasa mengeluarkan arahan pemberhentian kerja-kerja tanah jika ia boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.

“Semua kawasan pembangunan melibatkan kerja tanah perlu memastikan langkah keselamatan cerun dipatuhi serta mengikuti arahan jabatan teknikal berkaitan.

“Sebarang aktiviti kerja tanah termasuk kerja remedi dan kerja berkaitan hanya boleh dijalankan setelah mendapat persetujuan dan kelulusan jabatan berwajib," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Roshdi berkata semua pemaju dan kontraktor perlu mematuhi arahan berkenaan dan memastikan langkah keselamatan cerun diutamakan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan