AM

KANAK-KANAK OKU PENDENGARAN ANTARA BERLINDUNG DI PPS

23/11/2025 09:14 PM

KOTA BHARU, 23 Nov (Bernama) -- Kanak-kanak kurang upaya (OKU) pendengaran Raja Muhammad Anas Izyan Raja Mohd Amir, 7, antara lebih 300 mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sering di sini, hari ini.

Ibunya, Samiah Mat Salleh, 30, berkata paras air yang meningkat sejak awal pagi menyebabkan mereka lima sekeluarga segera berpindah kerana bimbang risiko terhadap anak sulungnya itu yang menggunakan alat bantuan pendengaran sejak dua tahun lepas.

Menurutnya alat bantuan pendengaran itu perlu dilindungi daripada terkena air selain anaknya kurang bertutur dan memerlukan komunikasi lebih jelas.

“Dia seorang yang aktif, tetapi apabila banjir begini kami perlu lebih berhati-hati,” katanya kepada Bernama di PPS berkenaan.

Kanak-kanak lelaki itu yang mesra dipanggil Anas hanya mengucapkan “OK” ketika ditanya keadaannya di PPS itu.

Samiah berkata banjir kali ini terburuk pernah dilalui keluarganya iaitu air melimpah masuk ke rumah sehingga paras betis manakala di luar rumah mencecah paras paha.

“Air naik mendadak sekitar 7 pagi. Semasa mengemas barang malam tadi, tak sangka ia naik begitu cepat. Kami terus mengangkat peti sejuk, mesin basuh, tilam dan bantal ke tempat tinggi,” katanya yang mendiami rumah pusaka di Kampung Pasir Kasar, Sering bersama suami dan dua lagi anak kecil masing-masing berusia tiga tahun dan dua bulan.

Menurutnya, mereka sekeluarga tiba di PPS berkenaan sekitar 1 tengah hari tadi dengan bantuan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 7810 orang dengan 31 PPS dibuka di empat daerah setakat 8 malam tadi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan