OMDURMAN (Sudan), 24 Nov (Bernama-dpa) -- Presiden de facto Sudan Abdel Fattah al-Burhan menolak dengan tegas cadangan AS untuk gencatan senjata antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) yang dipimpinnya dengan kumpulan pemberontak Pasukan Sokongan Pantas (RSF), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dokumen yang dikemukakan oleh penasihat AS Massad Boulos, "dianggap sebagai kertas kerja terburuk yang pernah dibentangkan, memandangkan ia membatalkan kewujudan angkatan bersenjata, menuntut pembubaran semua perkhidmatan keselamatan dan mengekalkan pemberontak di kawasan mereka," kata jeneral itu, menurut kenyataan SAF pada Isnin.
Beliau menuduh Boulos cuba mengenakan syarat ke atas beberapa pihak dan berkata beliau bimbang penasihat itu boleh menjadi "penghalang kepada keamanan yang dicari oleh seluruh rakyat Sudan".
AS cuba menjadi pengantara dalam konflik berlarutan itu, bersama-sama dengan Arab Saudi, Mesir, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Al-Burhan merampas kuasa di Sudan pada 2021 bersama Ketua RSF, Mohammed Hamdan Daglo. Pada April 2023, puluhan ribu pejuang RSF memberontak terhadap penggabungan ke dalam SAF dan mula menyerang tenteranya serta orang awam.
RSF kini menguasai kira-kira separuh daripada wilayah berpenduduk di Sudan.
Kerajaan Al-Burhan mendakwa UAE menyokong RSF sejak permulaan perang saudara. UAE menolak dakwaan itu, yang disokong oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomat.
RSF bersetuju untuk gencatan senjata pada awal bulan ini, tetapi konflik itu berterusan. Menurut angka PBB, kira-kira 40,000 orang kehilangan tempat tinggal di Wilayah Kordofan di selatan negara itu sejak akhir Oktober.
"Kami bukan penyokong perang dan kami tidak menolak keamanan, tetapi tiada sesiapa boleh mengancam kami atau menentukan syarat kepada kami," kata al-Burhan, menurut kenyataan SAF.
Gencatan senjata hanya boleh dipertimbangkan jika RSF berundur dari semua bandar yang didudukinya sejak Mei 2023, katanya.
-- BERNAMA-DPA
