AM

AHMAD ZAHID SETUJU HUTANG PEMBANGUNAN TANAH PROJEK P&P FELCRA DILUPUS SECARA BERPERINGKAT

26/11/2025 06:05 PM

BEAUFORT, 26 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju supaya hutang pembangunan tanah bagi Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) oleh Felcra Berhad (Felcra), yang dikategorikan sebagai projek kurang berdaya maju di seluruh negara, dilupuskan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), bagaimanapun berkata pelaksanaannya tertakluk kepada kedudukan kewangan Felcra yang perlu kekal stabil dari tahun ke tahun.

Beliau berkata Felcra adalah syarikat korporat diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, namun KKDW bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan Felcra diurus dengan terbaik dan memberikan manfaat kepada seluruh penerokanya di seluruh negara.

"Kita tahu bahawa Felcra ditubuhkan untuk membantu rakyat khususnya pekebun kecil bagi mengintegrasikan usaha dan memanfaatkan kelompok itu di seluruh negara.

"Apabila saya diberikan tanggungjawab, bukan hanya keuntungan kepada Felcra tetapi juga keuntungan untuk peneroka Felcra keseluruhannya. Maka permintaan untuk melupuskan hutang itu saya setuju sepenuhnya secara berperingkat," katanya berucap pada Program Felcra MADANI Santuni Rakyat @ Lumadan di Dataran Bagandang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Zahid turut memberi peringatan tegas kepada pihak pengurusan Felcra supaya tidak membebankan peneroka dengan hutang tertunggak disebabkan oleh kerugian susulan pengeluaran hasil yang berkurangan kesan daripada masalah dihadapi agensi itu.

Beliau melihat penstrukturan semula serta transformasi organisasi Felcra mengutamakan kebajikan para penerokanya, selain memastikan golongan berkenaan menikmati keuntungan sewajarnya.

Terdahulu, Ahmad Jazlan ketika berucap pada program itu berkata pihaknya memohon kelulusan supaya hutang pembangunan tanah bagi projek P&P oleh Felcra berjumlah lebih RM230 juta dilupuskan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun bergantung kepada kedudukan kewangan syarikat tersebut.

Beliau berkata perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan berikutan hasil tanaman peserta Felcra di kawasan kurang berdaya maju tidak mencukupi untuk menampung kos pengurusan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata Sabah menerima pelbagai projek pembangunan menerusi Felcra di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) jumlah keseluruhan menghampiri RM28 juta bagi 2026.

Beliau berkata ia termasuk RM20.42 juta untuk pembangunan semula ladang sawit dan getah, infrastruktur pertanian (RM6.6 juta), menaik taraf jalan ladang (RM500,000), ameniti sosial kampung (RM250,000) serta pembangunan premis perniagaan (RM100,000).

Mengenai program Felcra MADANI Santuni Rakyat @ Lumadan, lebih 1,200 penduduk setempat menghadiri program itu yang dianjurkan sebagai satu manifestasi komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dan Felcra Berhad untuk membangunkan komuniti luar bandar khususnya Sabah.

Program itu juga mencerminkan hasrat Felcra untuk terus menjadi rakan strategik rakyat Sabah dalam memacu kemajuan luar bandar secara inklusif, progresif dan mampan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan