AM

KERAJAAN CADANG PERBANYAKKAN KLINIK BANTUAN GUAMAN, PADANKAN SISTEM DIGITAL – AZALINA

27/11/2025 04:33 PM

TUARAN, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan bercadang memperbanyakkan klinik bantuan guaman Justice on Wheels di kawasan luar bandar dan menyepadukan dengan sistem digital bagi memudahkan proses pendaftaran, komunikasi dan akses nasihat undang-undang kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata usaha itu penting bagi memastikan perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) lebih inklusif khusus bagi komuniti di pedalaman Sabah dan Sarawak yang berdepan kekangan jarak serta akses fizikal yang terhad.

“Saya dah minta supaya (JBG) memperbanyakkan klinik bantuan guaman dan pada masa sama dipadankan dengan sistem digital sebab walaupun mereka (orang ramai) daftar guna telefon, hampir semua orang ada e-mel. 

“Jadi kita nak satu sistem yang boleh diikat (disepadukan) bersama untuk memudahkan komunikasi dan pendaftaran awal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program klinik bantuan guaman itu di pekarangan Pasar Awam Tuaran hari ini.

Azalina berkata pendigitalan perkhidmatan itu amat diperlukan selaras dengan pindaan undang-undang terkini yang telah mengaplikasikan sistem perbicaraan elektronik dan pemberian nasihat guaman serta penerimaan dokumen melalui platform digital termasuk Chatbox.

Selain itu, beliau berkata kerjasama antara JBG dengan pejabat Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan perkhidmatan guaman percuma disediakan kerajaan.

“Paling penting masyarakat tahu ada agensi kerajaan yang memberi khidmat guaman percuma sebab kalau nak pelanggan datang secara fizikal, sekarang ini agak susah dan mencabar,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan