KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut tropika Senyar yang dikesan di utara Sumatera yang berada kira-kira 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak dan sedang bergerak ke arah timur tenggara memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini hingga Sabtu.
“MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor berkuat kuasa dari 27 hingga 29 Nov 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika itu dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa.
Amaran hujan berterusan (buruk) yang dijangka berterusan hingga Sabtu, melibatkan Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan untuk Kelantan, Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran. Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor (Tangkak dan Segamat).
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web dan aplikasi myCuaca, serta media sosial rasmi MetMalaysia. Pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui hotline 1-300-22-1638.
-- BERNAMA
