AM

UNITED SIKHS MAKSIMUMKAN USAHA MENYELAMAT RAKYAT MALAYSIA TERKANDAS DI HAT YAI

27/11/2025 02:22 PM

ALOR SETAR, 27 Nov (Bernama) -- UNITED SIKHS Malaysia yang merupakan antara pasukan sukarelawan terawal membantu menyelamat rakyat Malaysia terkandas banjir di Hat Yai, Thailand akan menggerakkan operasi secara maksimum hari ini, bagi mengeluarkan sebanyak mungkin mangsa masih terperangkap.

Presiden UNITED SIKHS Malaysia Sunil Shukvir Singh berkata operasi secara maksimum itu dilakukan selepas pihaknya terpaksa memperlahankan operasi menyelamat, semalam berikutan paras air tinggi hingga dianggarkan mencecah 10 hingga 14 kaki.

“Sejak Ahad lepas hingga semalam, dianggarkan lebih 1,000 orang telah diselamatkan dan kesemua mereka dihantar ke Danok untuk proses seterusnya iaitu membawa keluar untuk pulang ke Malaysia. Selain pasukan kami, agensi lain seperti Sukarelawan Bomba dari Sungai Petani juga turut membantu menyelamatkan mangsa ini.

“Memang ramai yang hantar SOS pada kami, minta diselamatkan. Macam semalam, kami berjaya selamatkan dan bawa keluar kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas...kami beri keutamaan untuk selamatkan golongan ini dahulu kerana mereka lebih memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Menurut beliau, tambahan sebuah bot lagi serta dua kenderaan pacuan empat akan dibawa masuk untuk kerja-kerja menyelamat.

“Hari ini operasi penuh sebab hujan sudah berkurangan dan air sudah surut jadi kita boleh bawa masuk pacuan empat roda untuk selamatkan mangsa. Lokasi tumpuan hari ini ialah di beberapa hotel yang masih ada rakyat Malaysia terperangkap.

“Kita akan lakukan (menyelamat) satu persatu...tapi apa yang kami lihat sepanjang proses menyelamat ini, keadaan mangsa memang sangat menyedihkan kerana mereka berada dalam keadaan kelaparan dan dahaga melampau,” katanya.

Sunil berkata setiap kali proses menyelamat dilakukan, pasukannya akan membawa bekalan makanan dan minuman untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa ini terlebih dahulu seperti nasi lemak, roti, biskut dan susu.

Menurut Sunil, kesemua sukarelawan UNITED SIKHS berada dalam keadaan sihat walaupun mengalami kepenatan melampau berikutan operasi tanpa henti sejak beberapa hari lepas.

“Selain penat, mereka (sukarelawan) juga bimbang atas tekanan yang dipikul bagi memastikan semua rakyat Malaysia yang masih berada di Hat Yai dapat diselamatkan dengan segera...tetapi, apa pun kami bersyukur kerana tiada perkara serius berlaku setakat ini dan semua berada dalam keadaan selamat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan