AM

KETUA PENGAKAP NEGARA TERIMA ANUGERAH TERTINGGI PENGAKAP INDIA

27/11/2025 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Ketua Pengakap Negara Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin menerima anugerah tertinggi Pengakap India Silver Elephant Award daripada Bharat Scouts & Guides (BSG), pada satu majlis penganugerahan rasmi di Raj Bhavan, Lucknow, India, semalam.

Turut menerima anugerah yang sama ialah Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Dr Mohammed Mukhyuddin Sarwani.

Dr Mohd Zin dalam kenyataan menzahirkan penghargaan kepada BSG atas pengiktirafan tersebut, yang disifatkannya sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap sumbangan Persekutuan Pengakap Malaysia dalam membentuk generasi muda berdisiplin dan berwawasan global.

“Anugerah ini bukan hanya untuk kami berdua, tetapi untuk seluruh keluarga Pengakap Malaysia. Ia menjadi bukti bahawa usaha, dedikasi dan komitmen kita dalam memperkukuh kepimpinan belia, kemahiran hidup dan khidmat masyarakat diiktiraf pada peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata pengiktirafan itu akan terus menjadi dorongan kepada Pengakap Malaysia untuk memperkukuh peranan dalam melahirkan masyarakat berdaya saing, prihatin dan bersatu padu, selaras dengan misi global World Organisation of the Scout Movement (WOSM).

Penganugerahan Silver Elephant Award disempurnakan Gabenor Uttar Pradesh Anandiben Patel bersempena Grand Finale Diamond Jubilee Celebrations dan 19th National Jamboree, semalam merupakan penghormatan tertinggi BSG kepada pemimpin dewasa atas sumbangan besar dalam memperkukuh pergerakan pengakap.

Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS) 2022-2025 Chempaka Emalin Pahamin, turut menerima anugerah tertinggi berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan