POLITIK

PRN SABAH: PENGUNDI PERLU UTAMAKAN CALON BERINTEGRITI - AZALINA

27/11/2025 04:50 PM

KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Peningkatan jumlah parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menuntut pengundi membuat penilaian lebih bijak, dengan memilih calon dan parti yang benar-benar mampu mewakili aspirasi mereka serta bebas daripada risiko melompat parti.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tanggungjawab utama setiap calon adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan semangat Akta Lompat Parti yang diwujudkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

“Khidmat ini menjadi satu keutamaan kepada rakyat sebab rakyat kena tahu bahawa lepas mereka undi, esoknya wakil rakyat tu kena bekerja. 

“Kalau lebih kepada nak memilih wakil rakyat yang ada potensi nak lompat, ataupun wakil rakyat itu masa pilihan raya baru dia muncul, susah juga rakyat,” katanya. 

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program klinik bantuan guaman Justice on Wheels di pekarangan Pasar Awam Tuaran hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya akar umbi Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati kerana Pakatan Harapan (PH) didakwa kurang membantu kempen parti itu pada PRN Sabah kali ini. 

Azalina berkata beliau tidak mahu melayan dakwaan sedemikian yang kadangkala sengaja ditimbulkan musuh politik. 

Sementara itu, Azalina berkata mana-mana kerajaan negeri yang dipilih rakyat pada PRN Sabah kelak, perlu mengekalkan hubungan dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan. 

Beliau berkata Malaysia dibina berasaskan konsep Persekutuan yang memerlukan perbincangan berterusan antara kedua-dua peringkat kerajaan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri yang berkesan.

“Tiada kerajaan negeri yang boleh bergerak solo sebab negeri parti pembangkang pun, mesyuarat Menteri Besar, mesyuarat Ketua Menteri pun berlaku setiap-tiap bulan.

“Oleh itu kalau ada banyak parti politik berkempen atas ideologi "Sabah untuk Sabahan" sekali pun, ia masih tidak boleh lari daripada hubungan Sabah dengan kerajaan pusat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan