AM

JETSKI BERTEMBUNG DI SUNGAI MELAKA HANYA PENGGAMBARAN FILEM - PPSPM

27/11/2025 05:27 PM

MELAKA, 27 Nov (Bernama) -- Video tular memaparkan dua buah jetski bertembung di Sungai Melaka, merupakan sebahagian daripada penggambaran sebuah produksi filem yang dilakukan secara profesional dan dipantau agensi berkaitan, menurut Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

PPSPM memaklumkan bahawa semakan bersama pihak produksi mengesahkan adegan berkenaan telah dirancang lebih awal serta melibatkan pelakon dan kru profesional yang bekerja mengikut prosedur keselamatan ditetapkan.

Menurut PPSPM, penggambaran dijalankan dari 26 hingga 28 Nov dengan pemantauan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan semasa.

“Bagi memastikan tahap keselamatan optimum, pasukan perubatan serta petugas kesihatan bersama ambulans ditempatkan di lokasi sepanjang sesi penggambaran bagi menghadapi kemungkinan kecederaan atau kecemasan,” menurut kenyataan PPSPM hari ini.

Sehubungan itu, PPSPM menasihati orang ramai supaya tidak membuat tafsiran salah atau menyebarkan maklumat belum disahkan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam.

PPSPM komited memastikan semua aktiviti penggambaran di Sungai Melaka mematuhi piawaian keselamatan serta peraturan pihak berkuasa demi menjaga imej, kelestarian dan keselamatan kawasan pelancongan warisan negeri.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan