AM

ANWAR KUNJUNGI PENIAGA DI TUARAN, DENGAR DENYUT NADI KEHIDUPAN RAKYAT

27/11/2025 06:07 PM

KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa mengunjungi gerai lokan dan kelapa bakar di Kampung Salut, Tuaran bagi menyantuni peniaga serta masyarakat setempat selepas menghadiri majlis bersama pimpinan masyarakat dan usahawan.

Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri berkata beliau singgah di gerai berkenaan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bagi menziarahi peniaga, menyapa masyarakat dan mendengar sendiri denyut nadi kehidupan mereka.

"Dalam kesibukan jadual hari ini, saya berkesempatan bertemu dengan saudari Aminah Sulaiman yang sanggup menyewa kereta khas untuk bertemu dan menyampaikan penghargaan terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat," kata beliau.

Perdana Menteri berkata sejak pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan Kerajaan MADANI, Aminah dan penduduk kampung tidak lagi dibayangi kebimbangan kerana wujud “tangan negara” yang sudi menghulur bantuan pada saat mereka memerlukan.

"Doa dan harapan daripada wajah-wajah seperti saudari Aminah menguatkan tekad saya dan seluruh pasukan untuk terus bekerja, memperkemas dasar dan memastikan setiap isi rumah merasai nikmat kemajuan secara adil dan saksama," kata beliau.

Terdahulu, tular video Aminah yang sanggup menyewa kereta dengan bayaran RM200 khusus untuk ke Sulaman bagi memenuhi impiannya sejak 1984 untuk bertemu Perdana Menteri.

"Saya bersyukur sangat-sangat, sujud syukur. Saya mengalirkan air mata. Saya mahu beliau (kekal perdana Menteri) sepanjang hayat, tiada Perdana Menteri tiada gaji (tidak ambik gaji) hanya beliau saja," katanya. 

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan akan mengekalkan pendirian tidak mengambil gaji bagi jawatan yang disandangnya sejak November 2022 selagi ekonomi negara belum pulih sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan