AM

PERNIAGAAN TERJEJAS, MANGSA BANJIR DI TUMPAT ALAMI KERUGIAN

28/11/2025 01:58 PM

TUMPAT, 28 Nov (Bernama) -- Hampir seminggu berada di pusat pemindahan sementara (PPS), mangsa banjir yang terdiri daripada peniaga dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di daerah ini resah kerana tidak dapat mencari rezeki.

Norizan Jusoh, 56, ibu tunggal dari Kampung Periuk yang mengusahakan kedai makan sejak tiga tahun lepas berkata banjir kali ini lebih buruk kerana dia langsung tidak dapat berniaga berikutan air yang naik hingga paras lutut selain kawasan kedainya turut ditenggelami banjir.

"Selalunya air naik sekejap sahaja dan saya masih boleh berniaga, tetapi kali ini air lebih dalam. Minggu ini sahaja saya rugi lebih RM500," kata ibu kepada enam anak itu kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang, di sini.

Sejak berada di PPS, Norizan berkata kehidupannya kini bergantung sepenuhnya pada bantuan yang diberikan kerana kedainya tidak dapat beroperasi, sekali gus menjejaskan pendapatan sehariannya.

Seorang lagi peniaga, Fadli Yatif, 48, dari Kampung Talak turut mengalami kerugian selepas kedai cermin dan aluminium yang diusahakannya sejak lapan tahun lepas dimasuki air setakat buku lali, manakala rumahnya hampir dinaiki air setinggi paha.

Beberapa bahan mentah termasuk papan lapis dan aluminium untuk pembuatan kabinet rosak menyebabkan dia menanggung kerugian hampir RM2,000.

“Banjir kali ini tidak dijangka. Mungkin saliran tersumbat, jadi air naik cepat. Saya harap pihak berkaitan boleh beri perhatian pada sistem saliran supaya perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.

Bagi Rosdi Mat, 61, peniaga sayur dari Kampung Bendang Luas, banjir menyekat rutin hariannya ke pasar pagi selepas air naik setakat betis di dapur rumah, memaksanya berpindah awal tanpa sempat menyelamatkan stok jualan termasuk tomato, kubis, cili dan serai.

“Saya menjual sayur di serata Tumpat. Apabila duduk di PPS memang tak boleh meniaga, pendapatan terus terjejas,” katanya yang sudah 11 tahun dalam perniagaan itu.

Sementara itu, peniaga biskut, kek dan puding dari Kampung Menjual, Siti Fatimah Ab Latif, 33, berkata perniagaannya terjejas apabila 10 balang biskut yang tidak sempat dihantar ke kedai telah rosak, selain beberapa peralatan termasuk pengadun tenggelam selepas air naik dengan mendadak pada awal pagi Ahad lepas.

"Keadaan ini memaksa kami sekeluarga berpindah ke PPS demi keselamatan … perniagaan kecil ini memang sumber utama kami, suami hanya kerja buruh, apabila hujan dia pun tidak boleh bekerja," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan