IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menutup laluan dan melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di kawasan kejadian lubang benam di Jalan Kayu Manis, Seri Manjung yang tular di media sosial semalam.
MPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang awam perlu menggunakan laluan alternatif dan mematuhi arahan papan tanda di kawasan itu bagi melancarkan aliran trafik di situ.
“MPM melaksanakan TMP dengan menutup jalan sementara bagi memastikan keselamatan awam sehingga proses pembaikan dan penilaian lanjut diselesaikan,” menurut kenyataan itu.
Pemeriksaan di kawasan itu dijalankan MPM bersama-sama Indah Water Konsortium (IWK) berikutan terdapat lubang pembentungan berdekatan kawasan tersebut.
Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan menghubungi MPM menerusi talian 05-6898 833 jika terdapat maklumat atau kebimbangan berkaitan kejadian itu.
-- BERNAMA
