AM

BANJIR: RAKYAT DIMINTA UTAMAKAN KESELAMATAN, JKM SEDIA AKTIFKAN PPS TAMBAHAN - NANCY

28/11/2025 02:04 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru rakyat agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika negara berdepan fasa cuaca yang mencabar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata semua penduduk di kawasan berisiko perlu sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarah berbuat demikian.

"Utamakan keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU), serta elakkan berada berhampiran sungai, kawasan rendah dan lokasi mudah dinaiki air.

"Mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS terdekat atau menghubungi saluran kecemasan rasmi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nancy berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin.

Beliau berkata sebagai langkah kesiapsiagaan, JKM telah digerakkan sejak awal bersama kerajaan negeri dan agensi bencana lain.

"JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk. Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan akan terus diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan," katanya.

Nancy turut menyatakan rasa dukacita terhadap dua kes kematian akibat banjir yang direkodkan di Kelantan, masing-masing di Gua Musang (21 Nov) dan Tanah Merah (26 Nov).

"Takziah kepada keluarga mangsa, dan semoga mereka diberi kekuatan menghadapi detik yang amat sukar ini," katanya.

Setakat hari ini, banjir di seluruh negara kekal serius dengan 242 PPS beroperasi, melibatkan 27,489 mangsa daripada 9,033 keluarga.

Amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam menunjukkan hujan sangat lebat dan berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Beberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor turut berada pada tahap amaran buruk dan waspada.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan