KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kerugian bersih MSM Malaysia Holdings Bhd mengecil kepada RM4.60 juta untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2025 berbanding RM49.76 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, dipacu oleh margin yang lebih tinggi selepas pengurangan dalam kos pengeluaran termasuk kerugian tukaran mata wang asing.
Pengeluar jenama gula nasional itu, Gula Prai, bagaimanapun, menyaksikan pendapatannya menurun kepada RM748.90 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2025 daripada RM861.44 juta sebelum ini, disebabkan oleh harga jualan purata (ASP) serta jumlah jualan yang lebih rendah.
Untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, kerugian bersih MSM menyusut kepada RM30.62 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM40.44 juta sebelum ini, manakala pendapatan jatuh kepada RM2.31 bilion daripada RM2.60 bilion berikutan ASP yang agak rendah, walaupun jumlah jualan melonjak.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hasni Ahmad melalui satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan industri gula dijangka tetap mencabar pada 2025 selepas didorong oleh kenaikan kos input.
“Bagaimanapun, harga gula mentah yang rendah baru-baru ini akan memberikan prospek yang lebih baik bagi tahun kewangan 2026,” katanya, sambil menambah bahawa permintaan gula domestik dijangka akan mencapai kemuncak penghujung tahun ini, sejajar dengan trend penggunaan semasa perayaan.
-- BERNAMA
