AM

DEWAN NEGARA LULUS RUU AGENSI PERSENDIRIAN (PINDAAN) 2025

01/12/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, yang antara lain bertujuan menambah baik proses pengeluaran dan pembaharuan lesen bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh empat senator.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata RUU itu juga bertujuan untuk memperkukuh kawal selia industri keselamatan persendirian dan memantapkan proses tapisan keselamatan.

Beliau berkata selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan ketelusan tanpa menambah beban tugas kepada Ketua Polis Negara.

“Ini penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, penguatkuasaan akta ini di lapangan dengan membolehkan menteri dalam negeri mengeluarkan arahan pentadbiran dan garis panduan bagi perincikan pelaksanaan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa perlu sentiasa pinda akta melalui proses legislatif yang mengambil masa,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Beliau berkata agensi persendirian juga diwajibkan mematuhi syarat untuk mengutamakan penggajian pengawal keselamatan tempatan berbanding warga asing, selain lesen tidak boleh dipajak atau disewa kepada pihak lain.

“Syarat-syarat ke atas lesen ialah satu bentuk kawal selia supaya lesen tidak disalah guna dan pemegang lesen sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan yang dikuatkuasakan.

“Sebagai contoh, lesen tidak boleh dipajak atau disewa kepada pihak lain, ahli lembaga pengarah dan petugas mesti lulus tapisan keselamatan serta tidak berstatus bankrap atau muflis,” katanya.

Shamsul Anuar berkata dari segi penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui bahagian penguatkuasaan kawalan bertanggungjawab memastikan pematuhan kepada akta itu, manakala proses tapisan keselamatan dikendalikan Polis Diraja Malaysia di bawah kawalan dan arahan Ketua Polis Negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan