Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin
IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Seorang pengusaha bot pelayaran di Sungai Perak mendakwa kerugian besar apabila jumlah jualan tiket merosot hampir 90 peratus akibat banjir di daerah Hilir Perak baru-baru ini.
Pengusaha River Cruise Teluk Intan Mohd Sahril Mustafa, 37, berkata dalam tempoh dua minggu lepas, jumlah penumpang yang direkodkan tidak sampai 50 orang, jauh berkurang berbanding sebelum ini kira-kira 200 penumpang seminggu.
Beliau berkata banjir berkenaan turut menyebabkan kerugian harta benda apabila kelengkapan perniagaan rosak dalam bencana itu termasuk kaunter tiket yang rosak ditimpa pokok.
“Kelengkapan bot yang kita gunakan juga ada yang rosak disebabkan terkena kayu dan sampah yang dibawa arus,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
River Cruise Teluk Intan menawarkan pengalaman menyusuri Sungai Perak sejauh tiga kilometer, menggabungkan keindahan alam, sejarah dan budaya sambil menikmati pemandangan serta kehidupan di tebing sungai.
Beliau berkata berikutan itu, pihaknya terpaksa menghentikan sementara operasi dan perkara itu telah dihebahkan kepada pelancong termasuk untuk penjadualan semula apabila keadaan kembali selamat.
Sementara itu, Mohd Sahril berkata beliau berharap keadaan kembali pulih dalam masa terdekat bagi membolehkan operasi perniagaan berjalan seperti biasa.
“Semua yang berlaku atas kehendak Allah SWT. Kita reda, namun kita harap banjir yang berlaku cepat surut dan semua yang terjejas boleh kembali melakukan aktiviti seharian seperti biasa,” katanya.
-- BERNAMA
