KUANTAN, 1 Dis (Bernama) -- Graduan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) diingatkan supaya terus memperkasakan ilmu serta kemahiran walaupun telah melangkah ke alam pekerjaan.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembelajaran sepanjang hayat amat penting bagi memastikan graduan kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah.
“Belajar ialah proses yang tiada penghujung. Walaupun sudah tamat universiti, terdapat perkara baharu yang perlu dipelajari, banyak yang perlu diterokai termasuk perkembangan terkini seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen UCYP dan KYP 2025 di sini hari ini.
Majlis konvokesyen itu menyaksikan sebanyak 623 graduan terdiri daripada penerima Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) menerima sijil serta ijazah masing-masing.
Wan Rosdy yang juga Pro-Canselor UCYP berkata graduan institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Yayasan Pahang perlu menonjolkan kebolehan serta kebijaksanaan bagi meyakinkan majikan yang mereka mampu berdaya saing.
Sementara itu, mengenai agihan bantuan termasuk wang ihsan kepada mangsa banjir, beliau berkata pihaknya akan terus menyalurkan segala bantuan diperlukan kepada rakyat yang terjejas bagi meringankan beban mereka.
"Kita akan mempermudahkan lagi cara untuk menyalurkan bantuan itu dan apa yang kita bagi sebelum ini, tidak akan dikurangkan,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengingatkan rakyat supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca memandangkan musim Monsun Timur Laut (MTL) baru bermula.
"Saya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua agensi terlibat membantu memindahkan penduduk, menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS) dan bantuan lain," katanya.
-- BERNAMA
