EKONOMI

MELAKA PERCEPAT PERTUMBUHAN INDUSTRI MENERUSI INISIATIF MELAKA INDUSTRIAL BOOSTER

03/12/2025 09:28 AM

MELAKA, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan Melaka meningkatkan usaha merancakkan pembangunan perindustrian menerusi Melaka Industrial Booster (MIB), sebuah pusat sehenti yang bertujuan mempercepatkan proses pelaburan serta memperkukuh pertumbuhan zon industri di seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata MIB diwujudkan bagi memastikan pemain industri tidak lagi berdepan kelewatan berpanjangan berikutan prosedur birokrasi, dengan menghimpunkan 29 agensi berkaitan di bawah satu bumbung.

“Matlamat kami ialah memastikan pemain industri tidak perlu menunggu lama disebabkan kerenah birokrasi. Setakat ini, 72 syarikat telah menggunakan sistem MIB untuk mempercepatkan pelbagai proses di Melaka, termasuk pindah milik tanah, kelulusan pemilikan dan prosedur permulaan kerja.

“Kami memanfaatkan sepenuhnya mekanisme ini untuk memberikan sokongan lebih kukuh kepada pelabur yang mengembangkan operasi mereka di Melaka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri (CMIEA) 2025 di Banda Hilir pada Selasa. 

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 72 syarikat yang menggunakan sistem MIB itu menggambarkan komitmen negeri dalam mewujudkan ekosistem perindustrian yang mesra perniagaan dan efisien.

Ab Rauf berkata pembangunan perindustrian juga harus membawa manfaat yang jelas kepada rakyat.

“Pelabur terus melihat Melaka sebagai pilihan ideal untuk mengembangkan industri, dan melalui MIB, kami yakin dapat meningkatkan lagi sokongan serta keyakinan terhadap pelaburan berterusan di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Medivest Sdn Bhd, syarikat pengurusan fasiliti kesihatan, dan CSC Steel Sdn Bhd menerima pengiktirafan tertinggi apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri.

Medivest turut meraih Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan, manakala CSC Steel dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan.

CMIEA edisi 2025 menandakan kemunculan semula majlis anugerah berprestij itu selepas 10 tahun, dengan lima kategori utama yang mengiktiraf kecemerlangan industri di Melaka.

Sebanyak 12 syarikat menyertai anugerah itu termasuk MFS Technology, HM Jaya, CGN Edra, Master Tech Wire & Cable, MITCH, Medivest, Wahdah Technologies, Konsep Karisma, Julie’s, CSC Steel, MITC dan Panglima Power.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan