KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan kerja-kerja kecemasan hakisan pantai sebagai langkah segera menangani kerosakan akibat banjir dan ombak besar, meskipun tiada dana kecemasan khusus bagi tujuan itu, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata tindakan segera tetap dilaksanakan melalui butiran Kerja-Kerja Kecemasan di Luar Jangka setiap kali berlaku hakisan mendadak di persisiran pantai.
“Walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak mempunyai dana kecemasan khusus, tindakan segera tetap dijalankan selepas banjir atau ombak besar di luar jangkaan.
“Dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2022-2025, kerajaan telah meluluskan RM296 juta bagi tindakan segera di seluruh negara,” katanya, menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail mengenai jumlah peruntukan kecemasan hakisan pantai dalam tempoh lima tahun terakhir.
Akmal Nasrullah berkata selain kerja kecemasan, kerajaan turut memperkukuh perlindungan pantai melalui projek mitigasi jangka panjang menggunakan pendekatan struktur dan bukan struktur, melibatkan RM3.53 bilion bagi 45 projek hakisan pantai dan muara sungai. Daripada jumlah itu, 19 projek sedang dilaksanakan, 14 pra-pelaksanaan, lima pasca-pelaksanaan dan tujuh siap.
Katanya, kajian Pelan Pembangunan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan) turut diperkukuh dengan 20 kajian dilaksanakan bagi membantu perancangan zon pesisir oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan.
Akmal Nasrullah berkata Terengganu menerima agihan terbesar bagi projek mitigasi setakat 2025, melibatkan RM1.52 bilion merangkumi lima projek hakisan pantai dan lapan projek muara sungai.
Sebagai contoh, projek di Kuala Nerus bernilai RM90 juta menggunakan gabungan penambakan pasir dan pembinaan struktur breakwater, dengan 13 daripada 16 struktur telah siap.
Beliau turut menyebut beberapa lokasi kritikal seperti Mengabang Lekar dan Batu Rakit yang masih terjejas akibat ombak besar sehingga hampir meranapkan sebuah rumah inap tepi pantai bernilai hampir RM1 juta baru-baru ini.
-- BERNAMA
