EKONOMI

ASEAN PERLU KEKAL KOMPETITIF MELALUI INOVASI, KERJASAMA BAGI MASA DEPAN DALAM EKONOMI GLOBAL

03/12/2025 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- ASEAN perlu kekal kompetitif melalui inovasi dan kerjasama untuk menjamin masa depan dalam ekonomi global, kata Pengerusi Dagang NeXchange Bhd (DNeX) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Beliau berkata ASEAN perlu melabur dalam ekosistem inovasi serantau terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga dan perbincangan sebelum ini sering menyatakan bahawa sebahagian negara di rantau ini tidak kondusif dalam pembangunannya.

Katanya dalam beberapa tahun ini, kerajaan dan modal teroka telah mula mewujudkan persekitaran yang jauh lebih kompetitif dan ekosistemnya semakin baik, satu trend yang positif berikutan PKS akan memacu sebahagian besar pertumbuhan ekonomi rantau ini.

“Ini sangat penting bagi kita semua. Kita tidak boleh lagi menolak perubahan yang dibawa oleh transformasi digital. Perkara yang lebih baik untuk dilakukan ialah memahami dan menerima perubahan tersebut serta menggunakan teknologi untuk memacu perniagaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan bertajuk, Memacu Daya Saing ASEAN Melalui Inovasi dan Kerjasama (Accelerating ASEAN's Competitiveness Through Innovation and Collaboration) di Cyberjaya Conversation Summit 2025 di sini hari ini.

Syed Zainal berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) telah menjadi penting bagi syarikat dan kerajaan. 

Walaupun AI boleh menjadi amat produktif, katanya ia juga boleh menjadi tidak produktif jika disalahgunakan, menjadikannya penting bagi ASEAN untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang, sokongan dasar dan peraturan yang sesuai untuk mengurus pertumbuhannya secara bertanggungjawab.

Mengenai bakat, katanya pelabur sentiasa bertanyakan kesediaan bakat sesebuah negara, terutamanya dalam AI dan TVET.

Beliau berkata Malaysia di bawah pentadbiran semasa sedang berusaha untuk membina kumpulan graduan TVET yang kukuh dan usaha ini memerlukan sumbangan daripada semua pihak berkepentingan.

Syed Zainal menegaskan bahawa sektor swasta perlu bekerjasama erat dengan universiti awam dan swasta untuk memastikan pembiayaan dan penjajaran industri yang betul.

Beliau berkata ASEAN perlu melengkapkan tenaga kerjanya dengan kemahiran berorientasikan masa depan selain mengekalkan keupayaan teknologi teras, kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah.

Katanya ASEAN perlu menggalakkan mobiliti sumber manusia yang lebih besar, bergerak melangkaui label nasional dan ke arah identiti ASEAN apabila individu mahir boleh bekerja merentasi sempadan tanpa kekangan berkaitan visa.

Syed Zainal turut menekankan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing mengenai perlindungan harta intelek di ASEAN.

Bagi menggalakkan syarikat membawa dan memperluas harta intelek (IP) mereka pada peringkat serantau, katanya ASEAN perlu menyediakan persekitaran yang harta intelek dilindungi dengan jelas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan