KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 diharap menjadi “hero friend” kepada kanak-kanak dengan melindungi, memberi jaminan, dan meyakinkan mereka bahawa sekolah adalah tempat selamat untuk belajar dan membesar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata dalam penggubalan RUU itu, beliau sendiri telah mendengar suara kanak-kanak secara langsung melalui sesi libat urus khas.
Beliau berkata kanak-kanak berkongsi pengalaman sebagai mangsa buli, termasuk ejekan menghina dan intimidasi yang menjejaskan emosi serta keyakinan diri mereka.
“Dalam perbincangan itu, seorang daripada mereka, adik Rishvan, menggunakan istilah ‘hero friend’ untuk merujuk rakan yang membantu dan melindungi ketika berdepan pembuli – satu konsep ringkas tetapi penuh makna tentang perlunya sokongan rakan sebaya dan persekitaran sekolah yang selamat dan meyakinkan.
“Saya berharap RUU ini dapat menjadi ‘hero friend’ kepada adik Rishvan dan semua anak-anak kita,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata pihaknya juga menerima cadangan daripada sesi townhall yang diadakan pada September dan Oktober lepas, dengan penyertaan hampir 4,000 peserta.
“Daripada sesi ini, satu mesej jelas bergema iaitu rakyat mahukan standard nasional yang konsisten untuk menangani buli. Hampir semua negeri menuntut definisi buli yang seragam, garis panduan sekolah selamat, mekanisme aduan konsisten, serta perlindungan kepada guru dan murid,” katanya.
Sebagai pelengkap kepada sesi townhall itu, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri turut melancarkan portal maklum balas awam terhadap RUU Antibuli 2025, dengan sebanyak 509 respons diterima daripada pelajar, ibu bapa, guru, komuniti profesional, pertubuhan masyarakat sivil, dan agensi kerajaan.
Justeru, beliau berkata RUU itu akan menggariskan kategori kegiatan buli yang tidak pernah dinyatakan dengan jelas dalam mana-mana undang-undang sebelum ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata terdapat empat cabaran utama yang menghalang isu buli ditangani secara tuntas, termasuk undang-undang sedia ada terlalu berorientasikan jenayah, sedangkan ramai mangsa memerlukan pemulihan dan perlindungan.
Selain itu, mekanisme pengendalian kes yang amat tidak seragam apabila aduan yang sama mungkin dipandang remeh di sekolah A tetapi dianggap berat di sekolah B, serta masyarakat kurang peka terhadap bentuk-bentuk buli halus seperti peminggiran sistematik, ejekan berterusan dan pemerasan psikologi.
Beliau berkata cabaran lain melibatkan standard pembuktian jenayah terlalu tinggi, melampaui keraguan munasabah, yang tidak sesuai untuk kanak-kanak yang sering tidak mempunyai bukti fizikal atau saksi.
-- BERNAMA
