KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Fenomena perubahan iklim termasuk pengurusan banjir serta bekalan air bersih antara perkara utama yang dibangkitkan oleh lapan senator pada hari kedua sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini.
Senator Datuk Salehuddin Saidin meminta kerajaan mempertimbangkan penggunaan teknologi takungan air bawah tanah sebagai penyelesaian jangka panjang untuk menangani risiko banjir berulang, selain memanfaatkan lebihan air hujan sebagai sumber bekalan air dan pengairan ketika musim kemarau.
Beliau berkata pendekatan itu yang pernah digunakan di Sydney, Australia untuk mengatasi banjir tahunan dan kemudian menjadi sumber air minuman serta pertanian, wajar dinilai sebagai model strategik bagi negeri-negeri yang kerap dilanda banjir seperti Kelantan, Terengganu dan Selangor.
“Tentu sahaja ia melibatkan kos yang besar, tetapi kalau kita lihat kerugian tahunan akibat banjir seperti RM3.1 bilion di Selangor pada 2021 sahaja dan nilai kerugian banjir berulang seluruh negara setiap tahun mencecah RM100 juta, maka kos membangunkan sistem takungan ini lebih berbaloi dalam jangka panjang,” katanya.
Mengambil contoh kejayaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART), beliau berkata tiba masanya kerajaan melaksanakan penyelesaian berskala lebih besar untuk manfaat negara susulan perubahan iklim yang menyebabkan taburan hujan tidak menentu dan fenomena cuaca ekstrim yang semakin kerap berlaku.
Salehuddin berkata kerajaan perlu bertindak segera dengan melaksanakan projek perintis di kawasan strategik, memandangkan banjir kini bukan sahaja merosakkan harta benda, tetapi turut menjejaskan produktiviti, emosi masyarakat dan operasi ekonomi, khususnya di kawasan bandar besar.
Sementara itu, Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pula menekankan isu gangguan bekalan air yang masih berlaku di beberapa negeri termasuk Selangor, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata kerajaan perlu memberi jaminan bahawa bekalan air akan dipertingkat selain menumpukan kepada sumber air bawah tanah yang lebih mampan, bersih, murah untuk dirawat dan lebih konsisten berbanding sumber permukaan.
Senator Datuk Anna Belle @ Suzieana Perian pula menekankan isu Air Tidak Berhasil (NRW) di Sabah apabila hampir 57 peratus air terawat hilang akibat paip usang sejak 1990-an, menjadikannya antara kadar tertinggi di Asia Tenggara berbanding 25 peratus di Sarawak dan sekitar 33 peratus di Semenanjung.
Beliau berkata kebocoran paip besar-besaran menjejaskan bekalan air bersih dan menuntut pembaharuan struktur merangkumi sistem pembaikan, loji rawatan serta tadbir urus.
Anna Bell memaklumkan kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM1 bilion, peruntukan terbesar dalam sejarah sektor air Sabah, termasuk bagi menggantikan kira-kira 400 kilometer paip di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Sandakan dan Tawau.
Senator Azahar Hassan pula menggesa kerajaan mempercepat penyaluran bantuan kepada semua mangsa banjir tanpa mengira sama ada mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau kekal di kediaman masing-masing kerana mereka turut menanggung kerugian besar.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
