KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan dicadang mengecualikan kadar cukai jualan lima peratus ke atas kayu bergergaji dan menilai semula peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah mewujudkan cukai bertindih ke atas industri perkayuan dan produk berasaskan kayu.
Senator Tan Sri Low Kian Chuan berkata peluasan skop SST yang berkuat kuasa 1 Jan 2025, Perintah Cukai Jualan 2025 kini merangkumi kayu bergergaji yang dikenakan cukai jualan pada kadar lima peratus.
“Kayu bergergaji dikenakan cukai jualan lima peratus buat masa ini. Apabila dijual kepada perusahaan perabot, barangan perabot dikenakan 10 peratus cukai jualan lagi apabila dijual ke pasaran tempatan.
“Kos kayu bergergaji untuk barangan perabot jelas dikenakan cukai jualan sebanyak dua kali di sepanjang rantaian proses daripada bahan mentah hingga kepada barangan siap,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini.
Menurut Low, perkara itu turut menunjukkan bahawa kayu bergergaji telah melangkaui prinsip dan konsep cukai seperingkat yang diamalkan di Malaysia.
Selain itu, Low mencadangkan kerajaan memudahkan proses pemohonan, penilaian dan kelulusan pinjaman mudah pembiayaan mikro untuk mengurangkan kos, mempercepat pemulihan dan pengeluaran dana yang cepat.
“Pada masa yang sama, saya mencadangkan kerajaan menaikkan jumlah pinjaman atau pembiayaan berhubung skim pembiayaan mikro dan dikecualikan duti setem lebih tinggi daripada RM50,000 kepada antara RM100,000 dan RM200,000.
“Saya juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan penyertaan e-invois secara sukarela untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM500,000 dan ke bawah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap kerajaan akan memastikan segala aspek Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) diperhalusi demi memelihara pihak berkepentingan industri.
-- BERNAMA
