AM

MALAYSIA ANTARA NEGARA CONTOH KETIKA AS BUKA LALUAN PENGELUARAN KERETA KOMPAK

04/12/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kenderaan kompak dan jimat bahan api dari Malaysia menjadi contoh yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika beliau mengumumkan langkah menghapuskan halangan peraturan yang sebelum ini menyekat pengeluaran kereta kecil seumpamanya di negara itu.

Trump, yang baru-baru ini melawat beberapa negara Asia, berkata Malaysia bersama Jepun dan Korea Selatan menunjukkan bahawa kereta yang lebih kecil, mampu milik dan sesuai untuk kegunaan harian masih mendapat sambutan yang meluas.

“Jika anda ke Jepun, Korea Selatan dan Malaysia, mereka mempunyai kereta yang sangat kecil, seakan Volkswagen Beetle dahulu. Mereka kecil dan sangat comel.

“Dan saya bertanya, bagaimana jika kereta kompak dan jimat bahan api seperti itu dibawa ke negara ini? Dan semua berpendapat ia bagus. Tetapi pengeluar tidak dibenarkan membuatnya,” kata Presiden ketika mengumumkan piawaian penjimatan bahan api baharu AS di Pejabat Oval di Rumah Putih pada Rabu.

Beliau berkata AS kini meluluskan perubahan peraturan yang membolehkan pengeluar tempatan menghasilkan kenderaan sedemikian.

“Saya telah mengarahkan Setiausaha supaya segera meluluskan pengeluaran kereta-kereta berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa model kompak seperti yang lazim dilihat di jalan raya Malaysia boleh menjadi pilihan menarik buat pengguna di pasaran AS.

Menurut beliau, pengeluar automotif Asia termasuk Honda dan Toyota telah menghasilkan model kompak yang “cantik” dan terbukti popular di negara seperti Malaysia.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Patrick Duffy mengesahkan beliau diarahkan untuk menghapuskan sekatan peraturan bagi membolehkan kenderaan kompak dan jimat bahan api dikeluarkan dan dipasarkan di AS.

“Beliau mengarahkan supaya semua peraturan berkaitan dilonggarkan, dan ia telah kami lakukan. Jika Toyota atau mana-mana syarikat ingin menghasilkan kereta yang lebih kecil, mampu milik dan jimat bahan api, laluan telah dibuka untuk mereka buat dan jual di Amerika,” katanya.

Trump baru-baru ini menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, iaitu lawatan pertama beliau ke Asia Tenggara bagi penggal semasa sebelum meneruskan lawatan ke Jepun dan Korea Selatan. 

Beliau kemudian bertemu Presiden China Xi Jinping pada forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi membincangkan hubungan perdagangan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan