TANGKAK, 5 Dis (Bernama) -- Seorang penjawat awam kerugian RM10,500 selepas terperdaya sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintenden Roslan Mohd Talib berkata mangsa yang berusia 50 tahun mengetahui pelaburan itu selepas dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Telegram oleh individu tidak dikenali.
“Mangsa melakukan tiga transaksi memasukkan wang ke dua akaun pada Rabu dan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Roslan berkata mangsa membuat laporan semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan skim pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan dengan cara mudah dalam tempoh singkat.
-- BERNAMA
