KUANTAN, 5 Dis (Bernama) -- Penjawat awam negeri Pahang akan menerima Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji pada tahun hadapan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan melibatkan keseluruhan RM48 juta itu akan dikreditkan dua kali.
Beliau berkata pihaknya juga memperuntukkan RM3.75 juta bagi Pemberian Insentif Khas Pahang 1st sebanyak RM200 ringgit buat pertama kali kepada 18,743 penjawat awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000 pada 31 Dis ini.
“Saya amat berharap seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri untuk memperkasa iltizam, memantapkan integriti dan memelihara semangat berpasukan agar segala agenda pembangunan yang direncanakan dapat direalisasikan demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang bertemakan “Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan” pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menyeru penjawat awam supaya terus mempertahankan kerajaan negeri daripada usaha memesongkan fakta, menjejaskan persepsi dan menggugat keyakinan rakyat.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap perkembangan pendidikan Islam, Wan Rosdy turut mengumumkan bayaran elaun tambahan RM100 kepada setiap Guru Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) asrama sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM1,000 seorang.
“Bayaran tambahan elaun RM100 juga diberikan kepada setiap Guru KAFA seluruh negeri Pahang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3.66 juta.
“Kerajaan negeri turut bersetuju mengurangkan yuran persekolahan agama daripada RM490 kepada RM370 iaitu penurunan RM120 atau 24.5 peratus, serta pengurangan yuran asrama bagi sekolah menengah agama daripada RM670 kepada RM560 iaitu pengurangan RM110 atau 16.4 peratus,” kata Wan Rosdy.
Bagi memperkukuh pendidikan tahfiz serta memastikan anak-anak daripada keluarga B40 tidak tercicir, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.8 juta sebagai subsidi Tadika Tahfiz Negeri Pahang di semua 42 DUN.
Pada pembentangan itu, beliau turut memaklumkan RM7 juta diperuntukkan bagi bantuan pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ijazah Pertama anak Pahang yang baru bekerja bermula tahun ini.
-- BERNAMA
