DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI, INDEKS UTAMA SUSUT 0.54 PERATUS

05/12/2025 02:05 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia menyaksikan dagangan rendah pada tengah hari ini dengan indeks petunjuk utama susut 0.54 peratus, diasak jualan saham wajaran tinggi terpilih merangkumi sektor perkhidmatan, telekomunikasi dan media.

Maybank dan CIMB masing-masing susut 10 sen kepada RM10.14 dan RM7.82 manakala Axiata turun 12 sen kepada RM2.56 yang secara kolektif melenyapkan 5.92 mata daripada indeks komposit itu.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 8.81 mata atau 0.54 peratus kepada 1,612.26 daripada paras penutup 1,621.07 semalam.

Indeks itu yang dibuka susut 0.37 mata pada 1,620.70, juga bergerak dalam julat 1,611.80 dan 1,621.25 sepanjang sesi dagangan pagi.

Pasaran secara meluas mencatat prestasi negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 571 berbanding 316, sebnyak 462 kaunter tidak berubah, 1,395 tidak diniagakan dan 18 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan mencatatkan 2.13 bilion unit, bernilai RM982.27 juta.

Hong Leong Investment Bank Bhd berkata di sebalik perkembangan ketidaktentuan jangka pendek, ia kekal optimis terhadap prospek FBM KLCI untuk meningkat, disokong oleh musim perayaan pada Disember yang kukuh serta peningkatan ketara jangkaan Amerika Syarikat menurunkan kadar faedahnya.

“Penutupan di paras melebihi 1,643 akan membuka laluan menguji semula paras 1,659 dan 1,686. Jika gagal, ini mungkin mengekalkan indeks dalam fasa konsolidasi dengan (paras) sokongan pada 1,600 dan 1,591 (purata pergerakan 100 hari),” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maxis susut 11 sen kepada RM3.75, Mr D.I.Y. rugi lima sen kepada RM1.46, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM4.37, Tenaga Nasional naik 12 sen kepada RM12.62 dan Gamuda meraih enam sen kepada RM5.21.

Bagi saham paling aktif, V.S. Industry naik 1 sen kepada 47 sen, Velesto Energy menokok setengah sen kepada 25 sen, Tanco menambah dua sen kepada RM1.17, Zetrix AI turun 1.5 sen kepada 82 sen, PSP Energy berkurangan setengah sen kepada 14 sen dan Geohan Corporation yang baru disenaraikan di Pasaran Utama susut empat sen kepada 51 sen.

Kaunter paling untung termasuk Southern Acids yang naik 20 sen kepada RM3.20, Malayan Cement menokok 14 sen kepada RM6.93 dan Sungei Bagan Rubber meraih 13 sen kepada RM5.80.

Sebaliknya kaunter dengan penurunan ketara adalah Nestle merosot RM1.60 kepada RM114.10, Fraser & Neave turun 62 sen kepada RM34.98 dan Malaysian Pacific Industries kehilangan 40 sen kepada RM31.68.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah turun 35.01 mata kepada 11,796.67, Indeks FBM Mid 70 susut 47.22 mata kepada 16,699.70, Indeks FBM ACE menguncup 41.75 mata kepada 4,784.88, Indeks FBM Emas berkurangan 54.45 mata kepada 11,936.74 dan Indeks FBMT 100 kehilangan 56.48 mata kepada 11,716.52.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga naik 0.76 mata kepada 758.82, Indeks Perladangan turun 14.12 mata kepada 8,097.20, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 114.48 mata kepada 18,933.54 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.46 mata kepada 165.83.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan