AM

KEMENTERIAN DIGITAL SERAH PROJEK KAMPUNG ANGKAT MADANI BERNILAI RM1 JUTA DI MIRI

09/12/2025 06:48 PM

KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan projek Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Digital yang bernilai RM1 juta di Kampung Piasau Utara, Miri meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti setempat.

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis penyerahan projek disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar dengan antara skop terlibat ialah kerja menaik taraf dan baik pulih Masjid Darul Hijrah, Holy Rosary Chapel serta dewan serba guna kampung itu.

“Pemasangan lampu solar LED turut dilaksanakan di beberapa laluan utama kampung untuk memastikan pencahayaan lebih baik pada waktu malam,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebuah van jenazah baharu disediakan untuk memudahkan urusan pengurusan kematian manakala penyerahan peralatan sokongan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan memperkukuh pentadbiran serta aktiviti komuniti.

Sementara itu, Fabian semasa berucap dalam majlis itu menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan pembangunan seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Beliau berharap kemudahan baharu itu dapat memberi manfaat serta menjadi pemangkin kualiti hidup dan perpaduan penduduk.

Beliau turut memaklumkan penganjuran kursus AI for MyFuture pada 8 Dis telah memberi pendedahan awal kepada penduduk kampung mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan