KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Barisan menteri merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan Ke-80 baginda hari ini, diiringi titipan doa agar baginda terus dikurniakan kesihatan, kebahagiaan dan keberkatan Allah SWT.
Mereka merafak sembah menerusi hantaran di media sosial masing-masing antaranya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mendoakan baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta seluruh kerabat diraja Selangor sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mendoakan agar baginda dilanjutkan usia dan kekal qarar di atas takhta singgahsana Negeri Selangor dengan segala kemuliaan dan kebesaran serta diberi taufik dan hidayah untuk terus memayungi rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan warga agensi berkenaan turut mendoakan agar baginda dilanjutkan usia dalam naungan keberkatan.
"Selain itu, dikurniakan kesihatan yang afiyah, dipelihara dalam rahmat serta inayah-Nya dan terus dianugerahi kebijaksanaan dalam memayungi Negeri Selangor Darul Ehsan serta rakyat jelata dengan keadilan dan kesejahteraan yang berpanjangan," katanya.
Turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Sultan Sharafuddin ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menitipkan doa daripada seluruh warga Kementerian Kesihatan agar baginda sentiasa dilimpahi rahmat, diberkati Allah SWT dan berada dalam lindungan-Nya.
-- BERNAMA
