KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Econili Battery Sdn Bhd (Econili) mencatat kemajuan ketara dalam usaha mengurus dan mengitar semula bateri kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, selari dengan keperluan negara menangani cabaran kitar semula bahan tersebut.
Menurut syarikat itu, laporan terkini Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) menjangkakan Malaysia berdepan cabaran menguruskan kira-kira 870,000 bateri EV menjelang 2050.
“Namun demikian, negara sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani isu ini. Antara pemain utama dalam pembangunan ekosistem kitar semula bateri EV ialah Econili Battery New Energy Sdn Bhd, yang telah menunjukkan kemajuan signifikan dalam bidang berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Komitmen Econili turut diiktiraf menerusi Anugerah Visi Masa Depan dan Komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kategori Peneraju Perniagaan Kelestarian di ESG Plus Awards 2025 baru-baru ini, sebagai pengiktirafan komitmen untuk prinsip ESG terutamanya aspek kelestarian.
Syarikat kitar semula bateri litium-ion itu memaklumkan anugerah tersebut menonjolkan usaha Econili bukan sahaja dalam memperkukuh infrastruktur kitar semula negara, tetapi juga dalam mengurangkan impak alam sekitar melalui amalan perniagaan bertanggungjawab.
Syarikat itu turut memaklumkan bahawa ia telah melabur untuk membangunkan kemudahan kitar semula bateri terbesar di Malaysia yang terletak di Perak, dengan kapasiti pemprosesan sehingga 24,000 tan bateri setahun.
“Kilang berteknologi tinggi ini menggunakan sistem tertutup yang mematuhi piawaian ketat Jabatan Alam Sekitar, sekali gus memastikan impak minimum kepada alam sekitar sepanjang proses kitar semula,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kejayaan Econili serta pengiktirafan di ESG Plus Awards 2025 mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam mengintegrasikan nilai ESG dalam operasi syarikat.
“Seperti yang dilaporkan MGTC, Malaysia berdepan cabaran besar dalam mengurus bateri EV terpakai. Namun, dengan inisiatif seperti kemudahan Econili, negara sedang membina asas kukuh untuk menghadapi peningkatan permintaan dalam sektor ini,” katanya.
-- BERNAMA
