EKONOMI

PERDA LANCAR TRAK PERKHIDMATAN DESAMALL@PERDA, BANTU USAHAWAN DESA PROMOSI PRODUK

12/12/2025 08:43 PM

BUTTERWORTH, 12 Dis (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus mengukuhkan komitmen terhadap pembangunan ekonomi luar bandar menerusi pelancaran Trak Perkhidmatan Desamall@PERDA yang berfungsi sebagai platform promosi dan pemasaran bergerak untuk usahawan desa.

Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata inisiatif itu adalah kesinambungan kepada kejayaan premis fizikal Desamall@ PERDA di Simpang Empat Permatang Buluh, Sungai Dua, di sini yang telah beroperasi sejak 2021, sekali gus membuka peluang kepada produk desa untuk dipromosikan secara meluas. 

Beliau berkata inisiatif strategik itu membolehkan pelbagai produk desa dibawa terus ke program anjuran kementerian, ekspo peringkat kebangsaan, karnival kerajaan negeri serta pelbagai lokasi strategik lain yang sebelum ini sukar dicapai.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa satu daripada tujuh Desamall@PERDA di Malaysia terletak di Pulau Pinang. Dengan kewujudan trak perkhidmatan ini, usaha memperkenalkan Desamall dan produk usahawan PERDA dapat dilakukan secara lebih berkesan.

“Trak ini adalah pentas perniagaan, kedai dan studio promosi bergerak untuk mengetengahkan produk usahawan PERDA dan paling penting, kita tidak lagi menunggu pelanggan datang kepada kita sebaliknya kita membawa produk terus kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan trak perkhidmatan berkenaan di Pejabat PERDA di sini hari ini.

Shaik Hussein berkata buat permulaan, hanya satu trak disediakan sebagai projek perintis dan akan ditambah sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.

Sementara itu, Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum berkata platform Desamall merupakan strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) KKDW, iaitu Keusahawanan Pemacu Pembangunan Ekonomi yang sejajar fokus kerajaan untuk membangunkan produk desa dan memperluas pasaran termasuk melalui e-dagang.

“Kita memang mahu membantu usahawan meningkatkan pasaran dan seterusnya pendapatan mereka. Ini kerana usahawan, khususnya usahawan kecil masih memerlukan sokongan kita untuk mempromosikan produk.

“Justeru, pelancaran Trak Perkhidmatan Desamall@PERDA ini menjadi platform penting supaya promosi dapat dibuat dengan lebih cepat, sekali gus membantu memperkenalkan produk desa kepada lebih ramai pengguna,” katanya.

Pada masa ini terdapat lebih 1,700 usahawan di bawah bimbingan PERDA merangkumi pelbagai bidang, namun produk makanan dan minuman menjadi fokus utama pemasaran di Desamall dengan 269 jenis produk diusahakan oleh 113 usahawan desa, serta 545 SKU dipamer dan dipromosikan di platform itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan