KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan menjuarai Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
Menerusi hantaran di Facebook, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan atas sokongan padu yang sentiasa diberikan rakyat Johor serta penyokong tegar skuad Harimau Selatan.
Sultan Ibrahim juga bertitah semoga kejayaan berkenaan menjadi pemangkin kepada prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang serta inspirasi kepada pembangunan sukan bola sepak negara.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, JDT menewaskan Sabah FC 5-0.
-- BERNAMA
