
Dalam industri lada, setiap jam yang berlalu adalah risiko - satu sijil yang lewat dikeluarkan boleh menyebabkan kapal yang mengangkut terlepas jadual, kontrak perdagangan terbatal dan pendapatan pekebun kecil hilang begitu sahaja.
Namun hari ini landskap komoditi bernilai tinggi itu berubah ketara melalui transformasi secara “diam-diam” Lembaga Lada Malaysia (MPB), iaitu Projek Mempercepatkan Proses Penggredan dan Sijil Gred Lada yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi pada tahun ini (2025).
Hasilnya, pedagang lada dapat menjimatkan kos pematuhan sekitar RM2 juta setahun kerana tempoh mendapatkan penggredan bagi tujuan pengeksportan komoditi itu telah disingkatkan daripada dua hari kepada satu hari bekerja.
“Ini bukan sekadar percepat proses tapi turut meningkatkan lagi daya saing negara,” kata Ketua Pengarah MPB Vincent Sawat dalam temu bual dengan Bernama di sini baru-baru ini.
MPB yang beribu pejabat di Kuching, Sarawak bertanggungjawab dalam mengawal selia pembangunan industri lada negara ini.
PROSES DIPENDEKKAN, IMPAK EKONOMI MENINGKAT
Pemendekan proses penggredan itu dijangka meningkatkan lagi eksport lada negara yang mencatatkan pertumbuhan kukuh 24 peratus kepada RM186.67 juta pada 2024 berbanding RM149.97 juta pada tahun sebelumnya, satu prestasi yang menempatkan lada sebagai antara komoditi dengan pertumbuhan paling konsisten.
Setakat 2024, kawasan penanaman lada di Malaysia adalah seluas 8,289 hektar dengan Sarawak kekal sebagai pengeluar utama merangkumi 8,144 hektar, iaitu 98 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman lada negara.
Di peta dunia, Malaysia di kedudukan kelima pengeluar terbesar selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia, manakala pengimport terbesar pula ialah Jepun, Singapura, Vietnam, China dan Korea Selatan.
pic-2
Mengulas transformasi itu, Vincent berkata sebelum ini, pedagang lada perlu ke pejabat MPB untuk permohonan penggredan dengan mengisi borang manual, menunggu keputusan makmal, kemudian hadir semula untuk bayaran dan kutipan sijil gred lada yang mengambil masa antara satu ke dua hari.
Kerenah birokrasi itu menelan kos tambahan selain pedagang berdepan risiko stok tersadai di gudang.
“Sekarang semuanya dalam talian. Bila analisis makmal siap, sijil dimuat naik terus ke akaun pemohon. Mereka boleh terus urus logistik, tempah kontena dan runding pembiayaan dengan bank,” katanya.
Secara purata, MPB menerima 700 permohonan penggredan melibatkan keseluruhan 7,000 tan metrik lada setahun. Sebagai tunjang perdagangan eksport lada Malaysia, sebarang kelewatan di mana-mana peringkat penggredan akan memberi kesan domino kepada rantaian nilai.
“Bagi pedagang kecil, perbezaannya nyata, antaranya kurang masa terbuang, kurang kos pentadbiran dan lebih banyak masa memberi tumpuan kepada pasaran,” ujar Vincent.
KOD MASA NYATA: PERISAI INTEGRITI LADA MALAYSIA
Transformasi kerenah birokrasi itu turut menyaksikan MPB beralih kepada pendigitalan dalam keseluruhan proses pensijilan termasuk menggunakan kod QR masa nyata yang tidak boleh direplikat, dan sijil boleh disahkan terus oleh pengimport serta pihak kastam melalui pautan dengan pangkalan data MPB.
“Kalau ada pihak cuba ubah suai sijil, kod QR akan terus membezakannya...sistem ini membuktikan sijil itu benar-benar dikeluarkan berdasarkan analisis makmal MPB,” katanya.
pic-3
Langkah itu menurut beliau bukan sahaja memperkukuh keyakinan pembeli luar negara, malah meletakkan Malaysia antara negara yang menggunakan teknologi keselamatan lanjutan dalam pensijilan komoditi.
“Kini, profil pembeli global telah berubah dengan ketara. Jika dua atau tiga dekad lalu pasaran antarabangsa lebih cenderung mencari pembekal berharga murah untuk memenuhi permintaan dalam kuantiti besar, tumpuan kiann beralih kepada aspek keselamatan makanan, konsistensi standard, kebolehkesanan rantaian bekalan dan reputasi negara pengeluar,” tegas beliau.
BUKA LALUAN KEPADA TRANSFORMASI LEBIH BESAR
Mengulas lanjut, beliau berkata transformasi itu merupakan pembuka jalan kepada proses perubahan lebih besar berdasarkan Dasar Agrokomoditi Negara 2030.
Untuk itu, MPB kini menumpukan pada tiga tonggak utama industri, iaitu piawaian, pensijilan bernilai tambah dan inovasi industri.
pic-4
“Kita mahu mewujudkan piawaian lada yang seragam dan sejajar dengan Codex Alimentarius supaya kualiti produk konsisten dari kebun sehingga ke eksport.
“Pada masa yang sama, MPB hendak menjadikan pensijilan bukan sekadar syarat, tetapi kelebihan kompetitif melalui pendigitalan, pengiktirafan antarabangsa dan integrasi keselamatan makanan global.”
MPB juga berhasrat menggerakkan penggunaan automasi, teknologi makmal dan inovasi pemprosesan supaya Malaysia boleh menghasilkan produk hiliran bernilai tinggi seperti ekstrak, oleoresin (campuran minyak pati dengan resin) dan aplikasi nutraseutikal (produk herba) serta farmaseutikal.
“Kalau kita mahu kekal dalam pasaran premium, kita tidak boleh jual bahan mentah sahaja. Kita perlu naik ke rantai nilai yang lebih tinggi,” katanya.
IMPAK TURUN KE PEKEBUN KECIL
Walaupun projek ini berlaku di peringkat agensi, kesannya turun ke peringkat paling bawah iaitu pekebun kecil.
Dengan 99 peratus pengusaha lada Malaysia terdiri daripada pekebun kecil terutama di Sarawak, kestabilan harga dan kelancaran eksport memberi kesan terus kepada pendapatan mereka.
“Bila eksport bergerak lancar, pedagang boleh urus pembayaran lebih cepat, stok tidak tersadai, dan pekebun menerima pulangan lebih stabil,” katanya.
Apa yang berlaku di MPB mungkin kelihatan seperti pembaikan sistem dan proses dalaman, namun bagi industri kecil yang bernilai tinggi seperti lada, reformasi itu adalah pembeza antara eksport yang lancar atau tertangguh, antara pedagang yang untung atau rugi, dan antara pekebun kecil yang stabil atau tertekan.
“Bila kos pematuhan turun, proses jadi cepat dan sijil kita dipercayai dunia, seluruh ekosistem termasuk pekebun kecil akan mendapat manfaat.
“Reformasi ini membuktikan sesuatu yang penting - perubahan paling besar kadang kala datang daripada agensi kecil yang bekerja senyap tetapi hasilnya terasa hingga ke peringkat global,” ujarnya.
Transformasi yang dilakukan oleh MPB itu juga sejajar dengan sasaran pengeluaran di bawah Rancangan Malaysia ke-13, iaitu sebanyak 60,000 tan metrik menjelang penghujung rancangan, berbanding 32,00 tan metrik sekarang.
