AM

LANGKAH MCMC PERKUKUH AKTA 866 UNTUK LINDUNGI PENGGUNA – BHEUU

15/12/2025 03:32 PM

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Peruntukan Deeming Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar merupakan usaha signifikan dalam melengkapkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).

Menyambut baik langkah itu yang berkuat kuasa 1 Jan 2026, Bahagian Hal Ehwal Undang Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) memaklumkan pelaksanaan itu akan memperkukuh matlamat utama Akta 866 dengan memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi secara teratur di bawah kerangka kawal selia negara, tanpa menjejaskan kesinambungan operasi platform global. 

"Pendekatan ini juga mencerminkan prinsip akauntabiliti yang menjadi teras Akta 866, iaitu memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai tanggungjawab jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, bagi melindungi mereka daripada kemudaratan dalam talian seperti buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi kanak-kanak dan penyebaran kandungan memudaratkan," menurut kenyataan BHEUU hari ini.

BHEUU menegaskan pelaksanaan itu mengambil kira keseimbangan antara keselamatan dalam talian dan kebebasan bersuara, serta akan dijalankan secara berfasa dengan kerjasama MCMC, kementerian, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan melalui mekanisme Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang diselia BHEUU.

BHEUU turut menegaskan Kerajaan MADANI kekal komited membina ekosistem digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, selain memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan awam rakyat Malaysia.

MCMC hari ini mengumumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan secara automatik dianggap berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula 1 Jan 2026, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Peruntukan Deeming itu bertujuan memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya bagi melindungi kanak-kanak dan keluarga.

Pelaksanaan itu akan dikenakan ke atas penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan