AM

SIEMENS HEALTHINEERS MALAYSIA MENANG ANUGERAH KELESTARIAN PERTAMA DI MALAYSIA

15/12/2025 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Siemens Healthineers Malaysia mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Kecemerlangan ESG Khusus Industri (Penjagaan Kesihatan dan Farmaseutikal) pada Anugerah ESG Plus 2025, sekali gus menandakan pencapaian berkaitan kelestarian yang pertama syarikat itu di Malaysia.

Penyedia peralatan, penyelesaian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan global itu memaklumkan anugerah yang diterima dalam satu majlis pada 10 Dis lepas, mencerminkan komitmen syarikat dalam memacu transformasi lestari dalam sektor penjagaan kesihatan tempatan, khususnya dalam operasi makmal klinikal.

"Teras kepada pencapaian ini ialah portfolio Atellica Solution, yang telah menetapkan penanda aras global bagi prestasi alam sekitar dalam diagnostik makmal.

"Melalui penggunaan produk yang diperakui ACT Ecolabel dan program pensijilan My Green Lab, Siemens Healthineers telah membolehkan makmal mencapai pengurangan penggunaan tenaga hingga 48 peratus dan pengurangan penggunaan air mencecah 54 peratus, di samping meningkatkan keupayaan operasi dan mengurangkan pelepasan kitaran hayat," menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Inisiatif berkenaan turut membantu penyedia penjagaan kesihatan merealisasikan penjimatan kos dan manfaat alam sekitar, yang dilengkapi dengan pembungkusan lestari, amalan pengurusan sisa yang dipertingkatkan dan penyampaian perkhidmatan jarak jauh yang secara kolektif menyumbang kepada jejak karbon yang lebih rendah.

"Tumpuan Siemens Healthineers berkenaan kelestarian diterapkan dalam strategi global syarikat, dengan aspirasi jelas untuk mencapai pelepasan sifar bersih di seluruh rantaian nilai menjelang 2050.

"Kerangka ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) syarikat dibina berteraskan penyahkarbonan, ekonomi kitaran dan reka bentuk mesra alam, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu.

Di Malaysia, prinsip ini dizahirkan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan, hospital dan institusi akademik serta pelaburan berterusan dalam bakat tempatan dan penglibatan komuniti.

"Pengiktirafan oleh Anugerah ESG Plus 2025 ini menjadi bukti kepada dedikasi Siemens Healthineers Malaysia ke arah kecemerlangan mampan dan peranan sebagai rakan dipercayai dalam memajukan ekosistem penjagaan kesihatan negara," menurut kenyataan itu.

Syarikat berkenaan juga berharap dapat mengekalkan momentum ini dan mencapai kemajuan yang lebih besar dalam bidang kelestarian pada tahun-tahun akan datang.

Sementara itu, Pengarah Kewangan Siemens Healthineers Malaysia Jan Tiedermann berkata syarikat terbabit telah menetapkan matlamat untuk merintis penemuan dalam penjagaan kesihatan untuk semua, di mana-mana sahaja, secara lestari.

"Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen kami untuk mengintegrasikan kelestarian dalam setiap aspek operasi dan inovasi, memastikan kami bukan sahaja memajukan penjagaan kesihatan, tetapi juga melakukannya dengan impak minimum dan bermatlamat," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan