AM

MPMA SOKONG PENUH POLISI EPR, CADANG DIWAJIBKAN BERMULA 2028

16/12/2025 10:56 PM

IPOH, 16 Dis (Bernama) -- Persatuan Pekilang Plastik Malaysia (MPMA) menyokong penuh polisi Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) dan mencadangkan fasa mandatori dasar berkenaan dipercepatkan dua tahun lebih awal daripada sasaran asal pada 2030 bagi mengukuhkan ekonomi kitaran negara.

Presiden MPMA CC Cheah berkata cadangan berkenaan untuk memastikan pengeluar dan pengitar semula di Malaysia bersedia menghadapi fasa sukarela dan mandatori.

“Saya rasa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah mengumumkan bahawa bermula 1 Jan 2026, kita akan memasuki fasa sukarela dan menjelang 2030, ia akan menjadi wajib.

“Saya beritahu (Nga) bahawa 2030 terlalu lambat, kita patut bermula 2028 kerana saya fikir jika kita menangani masalah ini lebih awal, ia lebih baik dan akan memberi manfaat kepada sektor perniagaan,” katanya ketika berucap pada Forum 2.0 Meningkatkan Kitaran Plastik di Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim.

Sementara itu, Teh dalam ucapannya berkata EPR merupakan dasar utama yang sedang digerakkan negara bagi memastikan pengeluar bertanggungjawab terhadap keseluruhan kitar hayat produk.

“EPR bukan beban tambahan kepada pengeluar, sebaliknya satu sistem adil dan cekap yang menggalakkan reka bentuk produk lebih baik, inovasi pembungkusan mampan dan teknologi kitar semula,” katanya.

Teh berkata Kerajaan Perak komited memperkukuh agenda kelestarian dan ekonomi plastik kitaran menerusi penambahbaikan infrastruktur pengurusan sisa, peningkatan kapasiti kitar semula serta galakan kepada industri mengadaptasi teknologi rendah karbon dan cekap sumber.

Beliau berkata pendekatan ekonomi plastik kitaran amat penting ketika negara berdepan peningkatan sisa plastik dan kekangan model ekonomi linear tradisional yang tidak lagi mampan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan