KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kenya baru-baru ini telah memperkukuh kepercayaan dan muhibbah politik antara Malaysia dan Kenya, ketika kedua-dua negara meraikan enam dekad hubungan diplomatik.
Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Ekitela Moru berkata hubungan lama antara Kuala Lumpur dan Nairobi menandakan satu peristiwa bersejarah, yang mencerminkan nilai bersama serta peningkatan hubungan politik, ekonomi, perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Kerjasama ini bukan sekadar simbolik, tetapi ia memberi peluang untuk memperdalam kerjasama dalam bidang keutamaan seperti perdagangan, pelaburan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ekonomi digital, pendidikan, serta pelancongan.
Ia juga mengiktiraf kekuatan pelengkap antara kedua-dua negara, dengan Kenya sebagai pintu masuk ke Afrika dan Malaysia sebagai hab bagi rantau Asia Tenggara,” katanya dalam program terbitan Bernama TV, The Nation bertajuk “Malaysia-Kenya: A Growing Partnership” pada Selasa.
Moru berkata Kenya komited untuk menjalankan pembangunan inklusif, dengan menyifatkan aspek budaya dan trajektori Malaysia sebagai model peranan dalam melaksanakan pembangunan mampan untuk rakyat Kenya.
“Kami suka mengikut jejak langkah Malaysia dari segi pembangunan. Kami komited terhadap pembangunan terangkum sebagai pembangunan mampan untuk rakyat kami. Kami juga sedang berusaha menangani kemiskinan dan pertumbuhan terangkum untuk rakyat kami,” katanya.
Beliau berkata pengalaman Malaysia dalam pembasmian kemiskinan dan perumahan mampu milik berskala besar telah memberi inspirasi kepada Kenya untuk memperkukuh perlindungan sosial, kerjasama awam-swasta serta dasar pembangunan terangkum.
Anwar mengadakan lawatan ke Nairobi pada 23 dan 24 November lepas, yang merupakan lawatan rasmi pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke Kenya sejak 2007.
Semasa lawatan itu, kedua-dua negara bersetuju untuk meneroka kerjasama dan pelaburan termasuk kolaborasi dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) serta menaik taraf hubungan dua hala kepada rakan kongsi strategik.
-- BERNAMA
