LAHAD DATU, 16 Dis (Bernama) -- Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) akan memastikan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari depan berjalan lancar.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata pihaknya dari semasa ke semasa memperhebat kawalan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah termasuk Kinabatangan.
"ESSCOM yang merangkumi Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk kesejahteraan rakyat ketika proses berkenaan dilaksanakan.
"Kita akan memastikan segalanya berjalan dengan baik dan lancar, dan penduduk sekitar menjalankan tanggungjawab mereka. Jangan risau dan bimbang untuk keluar mengundi nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek siap stor strategik ESSCOM di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan hari pengundian PRK itu pada 24 Jan depan manakala 10 Jan bagi hari penamaan dan 20 Jan undi awal.
Mengenai projek stor strategik ESSCOM bernilai RM288,388 itu, Victor berkata pembinaan ruangan tersebut akan memperkukuh keupayaan logistik serta kesiapsiagaan aset keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Katanya projek itu melibatkan pembinaan infrastruktur merangkumi ruang stor, ruang rehat operator, pagar keselamatan serta penyediaan rak penyimpanan item teknikal.
"Ia menempatkan aset taktikal dan strategik untuk kegunaan pasukan keselamatan."Projek ini sekali gus mengoptimumkan operasi ESSCOM dan pasukan keselamatan di kawasan berisiko tinggi", katanya.
Beliau menegaskan projek berkenaan adalah bukti jelas kerajaan MADANI menitikberatkan keamanan serta kesejahteraan rakyat di Sabah Timur.
-- BERNAMA
