JENAYAH & MAHKAMAH

SIMULASI KEBAKARAN DI FOREST CITY: DUA WARTAWAN TERPERANGKAP, SEORANG TIDAK SEDARKAN DIRI

17/12/2025 03:45 PM

ISKANDAR PUTERI, 17 Dis (Bernama) -- Seorang wartawan cedera, manakala seorang lagi tidak sedarkan diri selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah bangunan di Forest City, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, selain dua mangsa berkenaan, sembilan lagi pengamal media yang turut terperangkap dan tidak mengalami sebarang kecederaan telah turut berjaya diselamatkan pihak bomba.

Insiden berlaku ketika satu sidang media sedang berlangsung, sebelum bilik berkenaan tiba-tiba diselubungi asap tebal dan siren kecemasan berbunyi, sekali gus mencetuskan suasana cemas.

Namun, kejadian itu sebenarnya hanyalah simulasi Latihan Kebakaran dan Pengungsian di Pusat Kewangan Fasa 1, yang dijalankan oleh pihak Forest City.

Latihan itu dijalankan dengan penyertaan 11 pengamal media daripada Kelab Media Johor, bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta prosedur menyelamat dalam situasi kebakaran.

Jurucakap Forest City Syarul Izam Sarifudin berkata selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, latihan turut disertai lapan anggota Pasukan Penyelamat Kebakaran Forest City, 14 anggota polis bantuan dan 22 anggota Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata insiden kebakaran dibangunan bertingkat yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini, menjadi peringatan dan antara faktor latihan itu dilakukan bagi memperkukuh lagi tahap kesiapsiagaan pihaknya.

Syarul Izam berkata langkah itu sekali gus mencerminkan pendekatan proaktif syarikat dalam aspek keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan, dalam melindungi kesejahteraan penyewa, kakitangan serta para pengunjung.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) Saifulizam Salleh daripada Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri yang turut serta dalam latihan itu, menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri dalam apa jua keadaan kecemasan termasuk kebakaran.

“Nasihat saya kepada sesiapa sahaja yang terlibat dalam kebakaran ataupun asap yang tebal, tolong berada berdekatan dengan pintu.

“Ini supaya pihak bomba mudah untuk mengeluarkan mangsa dan tidak mengambil masa terlalu lama untuk menyelamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan