KOTA BHARU, 17 Dis (Bernama) -- Agensi keselamatan dan pengurusan bencana di Kelantan kekal berada dalam keadaan siap siaga walaupun amaran hujan berterusan di negeri itu telah diturunkan ke tahap waspada (kuning) hingga esok.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan Lt Kol Mohd Farid Ishak berkata walaupun risiko hujan berterusan dilaporkan semakin berkurangan, orang ramai masih dinasihatkan supaya berwaspada berikutan kemungkinan kenaikan paras air sungai, limpahan air serta kejadian banjir kilat di kawasan rendah.
Beliau berkata di Kuala Krai, hujan renyai masih berlaku dengan paras air sungai berada pada tahap waspada namun menunjukkan trend menurun.
“Di Rantau Panjang, Pasir Mas, cuaca dilaporkan mendung dan paras air Sungai Golok berada pada tahap waspada dengan trend menurun manakala di Tanah Merah, laluan utama ke Kampung Sokor dilaporkan dinaiki air dengan keadaan cuaca gerimis,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Mohd Farid, setakat ini tiada kawasan dilaporkan dinaiki air di Pasir Puteh dan tiada pemindahan penduduk dilaksanakan, dengan cuaca di jajahan itu berada dalam keadaan mendung.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus memantau perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang Mohd Roshdi Ismail berkata hampir keseluruhan paras sungai di daerah itu menunjukkan trend menaik susulan hujan berterusan sejak Ahad lepas.
Beliau berkata bacaan paras air Sungai Kerak di Kampung Limau Kasturi kini berada pada tahap waspada dan kawasan berhampiran sungai berkenaan telah dinaiki air.
“Setakat ini tiada mangsa dipindahkan dilaporkan di Gua Musang manakala paras air Sungai Aring menunjukkan trend menurun,” katanya.
-- BERNAMA
